Rabu, 7 Oktober 2020 | 2:42pm
Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg ketika berucap merasmikan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2020 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini. NSTP/IHSAN JABATAN PENERANGAN
Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg ketika berucap merasmikan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2020 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini. NSTP/IHSAN JABATAN PENERANGAN

Sarawak tingkatkan capaian internet di taman negara, rumah panjang

KUCHING: Kerajaan negeri Sarawak memperuntukkan RM3 juta bagi menaik taraf akses internet di sembilan taman negara di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata projek pertama yang dilaksanakan di Pusat Hidupan Liar Semenggoh, di sini, kini sudah siap sepenuhnya dan usaha kini sedang dijalankan bagi meningkatkan lagi keupayaan capaian internet di lapan lagi taman negara.

Selain taman negara, Abang Johari berkata, usaha juga sedang dilaksanakan bagi mempercepatkan akses internet kepada masyarakat luar bandar.

"Untuk itu, kerajaan negeri sudah mewujudkan penyambungan Wi-Fi percuma kepada beberapa kampung serta rumah panjang.

"Menerusi inisiatif itu, setiap kampung akan berkongsi perkhidmatan jalur lebar 30mbps," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2020 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, setakat ini, 20 kampung serta rumah panjang di kawasan luar bandar sudah menikmati kemudahan internet.

"Bulan lalu, kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta bagi memasang stesen satelit mini (VSAT) bagi meningkatkan lagi penyambungan di luar bandar yang tiada liputan internet," katanya.

Mengenai usaha untuk merealisasikan visi Sarawak mencapai 99.9 peratus liputan jalur lebar di seluruh negeri, Abang Johari berkata, Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) akan membangunkan 300 lagi menara telekomunikasi sebagai tambahan kepada inisiatif SMA300 yang sedang dibangunkan ketika ini.

"Bagi tujuan itu, SMA akan berkolaborasi dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mempercepatkan penyambungan jalur lebar ke kawasan yang belum mendapat perkhidmatan itu di negeri ini.

"Kerajaan negeri akan membangunkan fasa kedua inisiatif menara telekomunikasi sebagai tambahan kepada usaha awal membangunkan 300 menara telekomunikasi (SMA300).

"Pelaksanaan tambahan Fasa 2 SMA300 ketika ini masih di peringkat perancangan bagaimanapun apabila projek berkenaan selesai, terdapat 600 menara telekomunikasi di seluruh Sarawak," katanya.

Berita Harian X