Rabu, 7 Oktober 2020 | 2:08pm
Meor Razak menunjukkan tompokan tanah yang bertukar kehijauan yang ditemui di tapak pelupusan bahan buangan disyaki sisa industri haram secara kambus tanah di kawasan hutan berhampiran Kampung Ulu Chepor, di sini. NSTP/ MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Meor Razak menunjukkan tompokan tanah yang bertukar kehijauan yang ditemui di tapak pelupusan bahan buangan disyaki sisa industri haram secara kambus tanah di kawasan hutan berhampiran Kampung Ulu Chepor, di sini. NSTP/ MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI

SAM gesa siasat tapak pelupusan haram di Ulu Chepor

IPOH: Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa siasatan terperinci dilakukan terhadap pelupusan bahan buangan disyaki sisa industri haram secara kambus tanah yang ditemui baru-baru ini di kawasan hutan berhampiran Kampung Ulu Chepor, di sini.

Pegawai Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman, berkata tapak pelupusan di atas tanah persendirian seluas kira-kira 0.4 hektar itu dikenal pasti hasil aduan pemilik resort berhampiran yang mendakwa terdapat aktiviti mengorek dan kambus tanah di situ sejak lebih setahun lalu.

Beliau berkata, sisa berkenaan dibimbangi berbahaya kepada alam sekitar susulan kawasan itu adalah laluan air bukit yang seterusnya mengalir ke Sungai Chepor.

"Sekiranya bahan buangan terbabit adalah sisa industri, pihak berkuasa khususnya Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu mengambil tindakan selain mendedahkan kepada umum sama ada ia bahan yang berbahaya kepada alam sekitar, bahan buangan terjadual, atau sekadar sisa sebatian organik.

"Bagaimanapun sekiranya ia bukan bahan berbahaya, mengapa pihak berkenaan tidak melupuskannya di tapak pelupusan sisa pepejal sedia ada yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)," katanya dalam sidang media di tapak pelupusan itu, hari ini.

Dalam pada itu, pemilik resort terbabit, Nasaruddin Omar, 52, berkata keadaan itu disedari pada dua minggu lalu apabila air Sungai Chepor bertukar kehijauan selain mengeluarkan sedikit bau kurang menyenangkan, selain mengakibatkan ternakan ikan penduduk kampung yang menggunakan air sungai itu mati.

Sementara itu, Pengarah JAS Perak, Rosli Zul ketika dihubungi media berkata, siasatan berhubung perkara itu akan segera dilakukan termasuk melalui pengambilan sampel sisa berkenaan selain dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Berita Harian X