X
Isnin, 5 Oktober 2020 | 4:19pm
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man. - Foto NSTP
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man. - Foto NSTP

Perlis siasat tanah kerajaan negeri diceroboh

KANGAR: Perlis akan melakukan siasatan terperinci berhubung dakwaan terdapat tanah milik kerajaan negeri berdekatan Kampung Kolam di Padang Besar, diceroboh pihak tertentu bagi melakukan kegiatan penyeludupan.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, berkata ini berikutan terdapat antara kawasan berkenaan diberikan kepada beberapa pihak tertentu untuk didirikan pembinaan dan kemudahan tertentu.

"Saya kena lihat semula fakta dan dakwaan pihak berkenaan bahawa terdapat tanah (milik kerajaan negeri) di sana (Kampung Kolam) yang diceroboh oleh pihak tertentu.

"Saya difahamkan di dalam Kampung Kolam terdapat beberapa kawasan diklasifikasikan sebagai tanah bergeran, aset pengurusan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), aset kerajaan negeri dan juga tanah yang tidak dibenarkan untuk didirikan penempatan," katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Azlan berkata, ketika ini beliau tidak dapat melakukan pemeriksaan terperinci berikutan masih menjalani perintah kuarantin di rumah sehingga 8 Oktober depan.

"Bagi kategori tanah yang tidak dibenarkan didirikan penempatan, kawasan itu terletak betul-betul berdekatan tembok sempadan Malaysia-Thailand.

"Kita akan periksa semula fakta itu sama ada dakwaan pencerobohan itu benar atau tidak," katanya.

BH hari ini, mendedahkan tanah milik Perbadanan Menteri Besar (MBI) di Kampung Kolam, Padang Besar diceroboh sindiket penyeludupan yang menjadikannya sebagai lokasi transit berikutan terletak berhampiran tembok sempadan Malaysia-Thailand.

Sindiket dipercayai menggunakan warga asing yang tinggal di kawasan jaraknya kurang 200 meter dari sempadan bagi menyeludup barangan terlarang seperti daun ketum, dadah, bawang dan minyak masak.

Berita Harian X