Isnin, 5 Oktober 2020 | 12:31pm
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor, R.Vidyananthan (Kanan) dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor, Dr Famey Yusoff (kiri) ketika membuat lawatan dan sukatan kadar asid air Sungai Sembrong di Pekan Kahang. - Foto fail NSTP
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor, R.Vidyananthan (Kanan) dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor, Dr Famey Yusoff (kiri) ketika membuat lawatan dan sukatan kadar asid air Sungai Sembrong di Pekan Kahang. - Foto fail NSTP

JAS Johor buka kertas siasatan pencemaran Sungai Sembrong

JOHOR BAHRU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor membuka kertas siasatan susulan pencemaran Sungai Sembrong, Kluang yang menyebabkan hidupan akuatik sungai berkenaan mati pada Jun dan Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata kes pencemaran Sungai Sembrong itu menjejaskan mata pencarian penduduk Orang Asli sekitar sungai berkenaan.

Katanya, JAS Johor mengadakan Ops Gempur pada Selasa dan Rabu lalu bagi memeriksa premis-premis termasuk kilang yang beroperasi di sepanjang jajaran Sungai Sembrong itu.

"Ops Gempur yang dilaksanakan dua hari berturut-turut membabitkan 45 anggota penguat kuasa JAS Johor.

"Sebanyak 55 premis yang tertakluk kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 diperiksa dan hasil dari tindakan

penguatkuasaan yang dilaksanakan itu, satu kertas siasatan dibuka JAS Johor membabitkan kes mencemarkan Sungai Sembrong terhadap sebuah premis di situ.

"JAS Johor turut mengeluarkan sebanyak 115 kompaun terhadap 55 premis yang diperiksa atas pelbagai kesalahan alam sekitar.

"Selain itu, JAS Johor turut mengeluarkan 55 Arahan Di Lapangan, 26 Notis Arahan dan tiga Penahanan Kelengkapan Operasi," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Jun lalu, media melaporkan ribuan udang galah dan ikan air tawar ditemui mati terapung di permukaan Sungai Sembrong dekat Kampung Orang Asli Sedohok, Kluang.

Tok Batin Kampung Orang Asli Sedohok, Halim Jahari, dilaporkan berkata kejadian itu, disyaki berpunca pencemaran air sungai berkenaan.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, tindakan segera juga sudah diambil JAS Johor sebaik sahaja kejadian pencemaran berlaku pada 2 Jun dan 12 Julai lalu.

"Tindakan diambil termasuklah penggantungan lesen di bawah Peraturan 4, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Pelesenan) 1977 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 terhadap premis yang disyaki menyebabkan pencemaran.

"JAS Johor memandang serius kes pencemaran Sungai Sembrong yang menjejaskan mata pencarian penduduk Orang Asli ini dan akan terus menjalankan penguatkuasaan dan pemantauan secara berkala ke atas punca industri yang melepaskan air buangan ke Sungai Sembrong, Kluang dan sungai lain di Kluang," katanya.

Orang ramai juga digesa untuk membantu JAS dengan melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau email ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

Berita Harian X