Jumaat, 25 September 2020 | 10:16am

JAS nafi IWK terbabit dalam pencemaran air berwarna hitam

KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) menafikan mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengesahkan bahawa loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) terbabit dalam kes pencemaran air berwarna hitam di Sungai Gong pada 19 September lalu.

Ketua Pengarah Alam Sekitar Putrajaya, Norlin Jaafar, berkata merujuk kepada artikel dalam talian daripada sebuah portal berita bertajuk "Sah Kumbahan IWK Punca Air Sungai Gong Berwarna Hitam' yang dikeluarkan pada 24 September lalu, JAS mendapati bahawa ia disalah lapor dan menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

"Bertindak atas perkara itu, portal berita itu sudah menarik balik kenyataan yang dikeluarkan.

"Orang ramai juga diminta untuk tidak membuat spekulasi dan menyebarkan laporan yang tidak tepat berhubung perkara ini," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan bahawa Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerima laporan insiden air Sungai Gong, Rawang berwarna hitam tetapi tiada bau yang disyaki disebabkan pewarna.

Hasil siasatan lanjut, LUAS menemukan pelepasan efluen berwarna dan berbuih, daripada discaj efluen loji rawatan kumbahan IWK GBK 134 area 5, di kawasan Perindustrian Rawang.

Bagaimanapun punca sebenar berkemungkinan daripada pembuangan sisa secara haram.

Berita Harian X