Selasa, 22 September 2020 | 5:26pm
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Hee Loy Sian. FOTO/Facebook Hee Loy Sian
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Hee Loy Sian. FOTO/Facebook Hee Loy Sian

Kerajaan negeri tunggu ujian sampel air Sungai Gong

SHAH ALAM : Kerajaan negeri masih menunggu keputusan ujian efluen daripada sampel air Sungai Gong, Rawang yang tercemar dan berwarna hitam tiga hari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Hee Loy Sian, berkata pada kebiasaannya, keputusan ujian itu mengambil masa tujuh hingga 14 hari.

"Setakat ini kita masih menunggu keputusan ujian efluen daripada Jabatan Kimia Malaysia," katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Loy Sian berkata, keadaan pencemaran di Sungai itu masih terkawal dan tiada gangguan terhadap Loji Rawatan Air Sungai Selangor.

"Kita juga membuat rondaan dan pemantauan 24 jam setiap hari di Lembangan Sungai Selangor dan Lembangan Sungai Langat oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

"Sebab itulah kes pencemaran Sungai Gong kali ini dapat ditangani dengan segera," katanya.

Sabtu lalu, media melaporkan LUAS menerima laporan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran Gombak berhubung insiden air Sungai Gong, Rawang yang berwarna hitam.

LUAS dalam kenyataan memaklumkan insiden berkenaan dikesan pada 12.11 tengah hari di kawasan Inlet Kolam Tebatan Banjir JPS.

Bagaimanapun, tiada henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) dan gangguan bekalan air dilaporkan.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati air sungai berkenaan berwarna hitam bagaimanapun tiada bau dan ia disyaki disebabkan oleh pewarna.

Berita Harian X