Ahad, 20 September 2020 | 4:14pm
Kes denggi di Johor meningkat sebanyak 6.2 peratus atau 8,707 kes bagi tempoh 1 Januari hingga 12 September tahun ini berbanding 8,200 kes dalam tempoh sama, tahun lalu. FOTO/ARKIB NSTP
Kes denggi di Johor meningkat sebanyak 6.2 peratus atau 8,707 kes bagi tempoh 1 Januari hingga 12 September tahun ini berbanding 8,200 kes dalam tempoh sama, tahun lalu. FOTO/ARKIB NSTP

Kes denggi di Johor meningkat

JOHOR BAHRU: Kes denggi di Johor meningkat sebanyak 6.2 peratus atau 8,707 kes bagi tempoh 1 Januari hingga 12 September tahun ini berbanding 8,200 kes dalam tempoh sama, tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) Dr Aman Rabu, berkata berdasarkan data terkini, situasi denggi di negeri itu disifatkan amat membimbangkan.

"Sebanyak 32 kes kematian direkodkan tahun ini berbanding 21 kes kematian yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Justeru, JKNJ mengadakan satu operasi penguatkuasaan premis individu (OPPI) di kawasan wabak denggi di Bandar Baru Uda, kerana kawasan berkenaan kurang mendapat kerjasama penduduk untuk dibuat pemeriksaan tempat pembiakan nyamuk Aedes.

"Sejak 1 Januari sehingga 12 September, sebanyak 156 kes denggi dilaporkan dari kawasan ini. Sebanyak 1,014 premis diperiksa dan daripada jumlah itu sebanyak 14 (1.3 peratus) premis didapati mempunyai bekas pembiakan jentik-jentik.

"Di persekitaran awam pula, sebanyak 26 tempat pembiakan ditemui antaranya pada bekas plastik dan pasu bunga yang terbiar," katanya.

Beliau berkata dalam usaha mencapai matlamat Johor Perangi Denggi 2020, pelbagai usaha dijalankan untuk memastikan masyarakat peka dan sama-sama bertanggungjawab menghentikan penularan denggi.

Operasi OPPI di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 adalah operasi bersepadu membabitkan agensi seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Polis Diraja Malaysia.

"Sekiranya terdapat atau dijumpai pembiakan jentik-jentik di premis kediaman, kompaun sebanyak RM500 akan dikenakan dan sekiranya gagal membayar kompaun, boleh didakwa di mahkamah dan denda maksimum RM10,000 atau penjara, tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

"Dalam mencegah denggi, masyarakat perlu memainkan peranan aktif bagi mencari dan memusnahkan tempat-tempat takungan di kediaman mereka yang boleh menjadi pembiakan Aedes, termasuk penjagaan kebersihan persekitaran dan pembuangan sampah secara teratur," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya bekerjasama dengan petugas kesihatan yang melakukan pemeriksaan rumah atau semburan kabus. – BERNAMA

Berita Harian X