X
Isnin, 14 September 2020 | 12:23pm
Anggota APM melakukan pemantauan di kawasan banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan di Alor Setar. - Foto ihsan APM
Anggota APM melakukan pemantauan di kawasan banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan di Alor Setar. - Foto ihsan APM

MADA lepas lebihan air elak banjir besar

ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) terpaksa melepaskan air di empat stesennya di Padang Terap bagi mengelak berlakunya banjir yang besar berikutan hujan lebat sejak Khamis lalu.

Pengurus Besar MADA, Datuk Fouzi Ali, berkata air lebihan itu dilepaskan melalui infrastruktur pengairan sistem Arau, Lana Bulu dan Alor Changileh serta melalui sistem saliran di Kampung Kepala Batu dan Ampang Jajar.

Beliau berkata, jumlah hujan yang dicatatkan adalah sebanyak 144 milimeter (mm) di stesen Padang Sanai, Naka (106 mm), Empangan Ahning (120 mm) dan Kuala Nerang (60 mm).

"Keadaan ini menyebabkan paras Sungai Padang Terap mencecah paras bahaya dengan aliran 190 meter padu/saat pada jam 8 pagi Sabtu lalu.

"Penyaliran air awal ini bagi mengelak banjir lebih buruk di beberapa kawasan rendah sepanjang Sungai Anak Bukit dan Sungai Baru yang ditenggelami air lebihan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabtu lalu, NSTP melaporkan penduduk Titi Gajah, Bukit Pinang dan Anak Bukit dilanda banjir kilat akibat air sungai melimpah selepas hujan lebat.

Mengulas lanjut, Fouzi berkata, lebihan air turut menyebabkan 691 hektar sawah ditenggelami air membabitkan sawah di Jitra seluas (77.4 hektar), Pendang (521.3 hektar) dan Kota Sarang Semut (92.8 hektar).

"Pada jam 5 petang Sabtu lalu, paras air di Kuala Nerang mula menurun ke paras normal dengan bacaan 15.41 meter. Operasi penyaliran air berlebihan ini akan diteruskan sehingga keadaan kembali kepada paras normal.

"Ketika ini takungan air di Empangan Pedu mencatatkan bacaan 64 peratus, Empangan Muda (68 peratus) dan Empangan Ahning (62 peratus). Setakat ini, tiada pelepasan air empangan dilakukan 1 September hingga semalam," katanya.

Berita Harian X