Selasa, 8 September 2020 | 12:11pm

Kongsi gelap tak terbabit isu kebun durian haram

KUANTAN: Polis Pahang mengesahkan kumpulan kongsi gelap tidak terbabit dalam isu pencerobohan tanah milik kerajaan Pahang membabitkan pekebun durian haram di Raub.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata setakat ini pihaknya tidak menerima laporan berkaitan kumpulan terbabit yang mengugut, mempengaruhi dan menasihati pihak syarikat serta pekebun durian.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pihak syarikat dan pekebun supaya tidak mengaitkan masalah mereka dengan meminta bantuan dengan kumpulan kongsi gelap itu.

"Sebaiknya, rujuk kepada polis kerana kami yakin dapat membantu dalam menyelesaikan masalah dihadapi dari sudut undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan 30 unit MPV di Dataran Kawad Kompleks Logistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Alor Akar di sini, hari ini.

Abd Jalil turut mengesahkan polis tidak lagi membuat kawalan keselamatan di tanah terbabit.

"Bagaimanapun, kami meminta pihak syarikat dan pekebun melaporkan kepada polis sekiranya berlaku keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan," katanya.

28 Ogos lalu, seramai 111 pekebun durian di Raub dilaporkan berjaya mendapat Perintah Pergantungan Sementara terhadap notis pengosongan tanah kebun dan pajakan mereka di beberapa lokasi sekitar Raub.

1 Ogos lalu, kerajaan Pahang bertindak tegas dalam menangani kegiatan pencerobohan hutan di Raub dengan aktiviti penanaman durian secara haram di atas tanah kerajaan negeri.

Kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah daripada kebun haram termasuk di kawasan hutan simpan.

Antara kawasan dusun durian di Raub terbabit ialah Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abdul Jalil Hassan (kanan) beramah mesra bersama anggota polis pada Majlis Penyerahan Kenderaan Peronda jenis Honda Civic 1.8 S, di Dataran Kawad, Alor Akar, Kuantan. - Foto NSTP/Farizul Hafiz Awang
Ketua Polis Pahang, Datuk Abdul Jalil Hassan (kanan) beramah mesra bersama anggota polis pada Majlis Penyerahan Kenderaan Peronda jenis Honda Civic 1.8 S, di Dataran Kawad, Alor Akar, Kuantan. - Foto NSTP/Farizul Hafiz Awang
Berita Harian X