Khamis, 3 September 2020 | 7:44am
Hasil kebun durian Musang King musim lalu yang diusahakan di Raub sedia untuk dipasarkan. - Foto ihsan pembaca
Hasil kebun durian Musang King musim lalu yang diusahakan di Raub sedia untuk dipasarkan. - Foto ihsan pembaca

'Kami mahu berunding dengan kerajaan negeri'

KUANTAN: Pengusaha kebun durian Musang King yang mengusahakan tanaman di atas tanah kerajaan dan hutan simpan di Raub mengadakan rundingan dengan kerajaan negeri bagi mempertahankan kebun mereka yang diusahakan lebih 40 tahun.

Pengerusi Save Musang King Alliance (SAMKA), Chang Yee Chin, berkata rundingan berkenaan bagi memastikan kedua pihak mendapat keputusan secara 'menang-menang' dalam isu penerokaan tanah di beberapa kawasan di Raub.

"Rundingan kali pertama dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Raub diadakan semalam dan pertemuan berkenaan berjalan dengan lancar dalam suasana baik, beberapa perkara utama dibincangkan.

"Lebih 1,000 pekebun masih berminat menguruskan kebun durian dan diharapkan jalan penyelesaian terbaik dapat diputuskan bagi kepentingan kedua belah pihak.

"Selagi ada ruang dan peluang, kami akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk mendapat keputusan 'menang-menang," katanya, dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata, dia yang mewakili pekebun durian di Raub tidak berniat atau bercadang untuk memusnahkan pokok buah-buahan yang ada sebagai tanda protes memandangkan pintu rundingan dan perbincangan dengan kerajaan negeri masih terbuka luas.

Yee Ching berkata, pekebun sudah mengeluarkan banyak modal untuk mengusahakan kebun durian Musang King, amat rugi sekiranya pokok berkenaan yang kebanyakannya sudah mengeluarkan hasil dimusnahkan dengan apa juga cara sekalipun.

"Saya yakin melalui perbincangan yang diadakan tidak mustahil keputusan terbaik akan dapat dimuktamadkan demi kebaikan bersama, kami akur hasil kata putus yang akan dibuat.

"Kami masih berminat untuk menguruskan kebun durian yang ada dan kita boleh membayar cukai tanah serta sewa kepada kerajaan negeri seperti mana disyaratkan.

"Hasil durian yang keluar setiap tahun bukan sahaja memberi pendapatan kepada pekebun tetapi juga kepada kerajaan negeri, saya yakin masalah ini dapat diselesaikan secara baik tidak lama," katanya.

Pada 1 Ogos lalu, kerajaan negeri Pahang bertindak tegas terhadap pekebun durian di Raub yang mengusahakan tanaman buah itu secara haram di atas tanah kerajaan serta kawasan hutan simpan.

Tindakan berkenaan dilakukan berikutan kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah dari kebun haram dan kawasan hutan simpan.

Antara kawasan dusun durian terkenal di Raub yang terlibat ialah Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras.

Berita Harian X