Rabu, 2 September 2020 | 10:52am
 Foto hiasan
Foto hiasan

KAR sokong tindakan tegas tangani kebun durian haram

RAUB: Kelab Anak Raub (KAR) menyokong tindakan tegas kerajaan negeri dalam menangani isu kebun durian Musang King haram di daerah ini.

Presiden, Fadzli Mohamad Kamal, berkata KAR yang mempunyai lebih 1,000 ahli berdaftar berdiri teguh di belakang pucuk kepemimpinan kerajaan negeri diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

"Masalah kebun durian haram sudah lama berlarutan dan tindakan tegas perlu dilakukan segera kerana ia bukan sahaja merugikan kerajaan negeri malah turut membabitkan penduduk di daerah ini.

"Kami amat berharap tindakan tegas dapat diambil oleh pihak berkuasa terhadap pekebun yang ingkar dengan arahan pihak berkuasa," katanya hari ini.

Beliau berkata, cubaan beberapa pemimpin menangguk di air keruh seharusnya tidak berlaku, sebaliknya isu itu perlu dilihat secara rasional.

Katanya, perhimpunan aman anjuran Gabungan Pertubuhan Melayu Islam Raub membabitkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam di negeri ini akan diadakan esok bertempat di pekarangan Rumah Rehat Raub.

"Himpunan diberi nama SeTanah Melayu (Jangan Cabar Hak Kami) adalah satu mesej jelas iaitu kami benci politik perkauman," katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan dilaporkan berkata pihaknya menerima tiga laporan tahun ini dan enam laporan tahun lalu berkaitan aktiviti pencerobohan tanah kerajaan negeri di Raub.

Pada 1 Ogos lalu, kerajaan Pahang mula bertindak tegas dalam menangani kegiatan pengusaha kebun durian di Raub yang diusahakan secara haram di atas tanah kerajaan dan kawasan hutan simpan.

Tindakan itu dilakukan berikutan kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah dari kebun haram dan kawasan hutan simpan.

Antara kawasan dusun durian terkenal di Raub yang terbabit ialah Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras.

Berita Harian X