Selasa, 1 September 2020 | 5:39pm
Kerajaan Pahang tidak berniat menindas penceroboh hutan yang menanam durian Musang King - Wan Rosdy. Foto NSTP
Kerajaan Pahang tidak berniat menindas penceroboh hutan yang menanam durian Musang King - Wan Rosdy. Foto NSTP

Kerajaan Pahang bertegas isu pekebun haram durian Musang King

KUANTAN: Kerajaan Pahang tidak berniat menindas penceroboh tanah kerajaan negeri yang menanam pokok durian, sebaliknya bertindak mengikut lunas undang-undang.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kerajaan negeri tetap akan bertindak tegas terhadap individu yang didapati menceroboh tanah untuk aktiviti pertanian secara haram.

Katanya, seiring dengan keputusan kerajaan negeri yang mengambil tindakan mengikut undang-undang, beliau berharap penceroboh hutan juga perlu menjadi warga yang patuh undang-undang.

"Mereka harus mengosongkan tanah kerajaan yang diduduki secara haram selama ini.

"Kerajaan negeri berharap kerjasama dapat diberikan semua pihak terutama pekebun haram berkaitan penanaman durian Musang King di daerah Raub," katanya dalam satu kenyataan , hari ini.

Seramai 111 pekebun durian di Raub sebelum ini dilaporkan berjaya mendapat Perintah Pergantungan Sementara terhadap notis pengosongan tanah kebun dan pajakan mereka di beberapa lokasi sekitar Raub pada 28 Ogos lalu.

Perintah itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Datuk Zainal Azman Ab Aziz selepas mendengar hujahan daripada pemohon dan wakil responden berhubung tuntutan terbabit.

Pada 1 Ogos lalu, kerajaan Pahang bertindak tegas dalam menangani kegiatan pencerobohan hutan di Raub dengan aktiviti penanaman pokok durian Musang King yang diusahakan secara haram di atas tanah kerajaan negeri.

Tindakan itu dilakukan berikutan kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah dari kebun haram termasuk di kawasan hutan simpan.

Antara kawasan dusun durian di Raub yang terbabit ialah Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras.

Berita Harian X