Khamis, 20 Ogos 2020 | 1:19pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Masjid, surau ditutup untuk disinfeksi

KUALA TERENGGANU: Sebuah masjid dan surau di daerah Kuala Nerus ditutup sementara dan dilarang mengadakan aktiviti bagi membolehkan kerja disinfeksi dilakukan.

Masjid dan surau itu ditutup sementara selepas dikatakan dikunjungi seorang individu disyaki dijangkiti COVID-19.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus, berkata ia ditutup selama tiga hari berkuat kuasa semalam selepas pihaknya menerima makluman awal satu kes individu disyaki dijangkiti COVID-19, Selasa lalu.

Katanya, kes itu masih dalam proses ujian pengesahan makmal dan individu itu tidak bergejala serta mempunyai sejarah pulang bercuti ke negeri ini, bermula akhir bulan lalu sehingga Sabtu lalu.

"Individu itu dikatakan menziarah saudara mara dan rakan di beberapa lokasi sepanjang bercuti.

"Sebagai langkah proaktif untuk mencegah dan mengawal penularan COVID-19, pihaknya sedang melakukan pengesanan, pengasingam dan ujian saringan ke atas kontak rapat individu berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dr Nor Azimi berkata, Jabatan Kesihatan giat melakukan disinfeksi ke atas surau dan masjid disyaki pernah dikunjungi kontak rapat dan individu berkenaan.

Walaupun masih menunggu pengesahan itu, tetapi pengesanan, pengasingan dan ujian saringan kontak rapat perlu dilakukan.

"Jabatan Kesihatan negeri akan menjalankan disinfeksi ke atas surau dan masjid yang dikunjungi individu berkenaan, selain mencadangkan ditutup kepada umum sehingga keputusan ujian pengesahan ke atas individu dan semua kontak diperolehi," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X