Rabu, 19 Ogos 2020 | 1:03pm

Lelaki dipenjara, denda memandu bawah pengaruh alkohol

TAWAU: Seorang anggota tentera dijatuhkan hukum penjara sehari dan denda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret Tawau, hari ini selepas mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol 15 Ogos lalu.

Tertuduh, Radin Esin, 39, yang bertugas di Kor Rejimen Semboyan Tentera Darat, Kem Kukusan, Markas Angkatan Tugas Bersama (ATB) di sini, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, Amir Shah Amir Hassan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi paras dibenarkan di Jalan Chong Thien Vun dekat sini, kira-kira jam 12.25 tengah malam pada 15 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333/87) yang memperuntukkan hukuman denda antara RM1,000 hingga RM6,000 dan boleh dipenjarakan sehingga 12 bulan.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang memandu kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Isuzu D-Max ditahan menerusi Op Mabuk ketika melalui sekatan jalan raya di Jalan Chong Thien Vun, dekat sini, selepas hasil ujian pernafasannya didapati positif.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman ringan dengan alasan penanggung tunggal dalam keluarga dengan tiga orang anak yang masih bersekolah serta isteri yang tidak bekerja.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Kanan, Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran selain mengambil kira kepentingan awam.

Amir Shah sebelum menjatuhkan hukuman turut menjelaskan bahawa keputusan sabitan hari ini akan memberi kesan ke atas kerjaya tertuduh sebagai penjawat awam selain menasihatkan tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama pada masa akan datang.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara selama enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh, Radin Esin, 39, dijatuhi hukuman denda RM5,500 dan penjara sehari selepas mengaku bersalah memandu dibawah pengaruh alkohol, diiring keluar dari bilik bicara Mahkamah Majistret Tawau, hari ini. NSTP/ Abdul Rahemang Taiming
Tertuduh, Radin Esin, 39, dijatuhi hukuman denda RM5,500 dan penjara sehari selepas mengaku bersalah memandu dibawah pengaruh alkohol, diiring keluar dari bilik bicara Mahkamah Majistret Tawau, hari ini. NSTP/ Abdul Rahemang Taiming
Berita Harian X