Selasa, 18 Ogos 2020 | 11:37am

Polis gempur Bukit Malut dalam Ops Sarang

LANGKAWI: Kawasan Bukit Malut yang terkenal sebagai lokasi penagihan dadah di pulau ini digempur sekali lagi dalam Ops Sarang pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Dalam operasi dua hari bermula pada jam 5 petang itu, seramai 14 penagih berusia antara 20-an hingga 40-an termasuk pengedar dadah berjaya ditahan polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi, Deputi Superintendan Roszemi Mat Derus, berkata serbuan di Bukit Malut dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi hasil risikan.

Katanya, hampir setiap bulan serbuan dilakukan di lokasi itu susulan ia diketahui menjadi sarang penagihan. Malah dalam serbuan itu ada penagih sanggup terjun ke dalam selut dan muara sungai di kawasan itu untuk melarikan diri.

"Hasil serbuan sama, kita turut menahan dua lelaki termasuk seorang daripadanya warga Myanmar yang disyaki pengedar dadah.

Polis menahan penagih dalam operasi Ops Sarang di Bukit Malut, Langkawi. - Foto Zuliaty Zulkiffli
Polis menahan penagih dalam operasi Ops Sarang di Bukit Malut, Langkawi. - Foto Zuliaty Zulkiffli

"Ini berikutan penemuan lima paket plastik lut sinar mengandungi dadah jenis heroin seberat 166 gram dan tiga paket syabu seberat 16.5 gram," katanya ketika ditemui semalam.

Roszemi berkata, dua lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, 11 ditahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 sementara seorang disiasat mengikut Seksyen 39(a)(1) ADB 1952.

"Penduduk di kawasan itu diharap jangan menjadi tali barut sehingga mengganggu urusan polis setiap kali anggota kami melakukan serbuan.

"Ini kerana ada penagih lari lebih awal sebaik menyedari kehadiran polis menyebabkan anggota kami sukar untuk menangkap lebih ramai penagih yang melepaskan gian di situ," katanya.

Polis menahan penagih dalam operasi Ops Sarang di Bukit Malut, Langkawi. - Foto Zuliaty Zulkiffli
Polis menahan penagih dalam operasi Ops Sarang di Bukit Malut, Langkawi. - Foto Zuliaty Zulkiffli
Berita Harian X