Selasa, 11 Ogos 2020 | 5:15pm
Noraslinda Abdul Wahab,34, (kanan) bersama ahli keluarga yang dipakaikan gelang merah jambu di hadapan rumah mereka di Kampung Kuala Sanglang Kedah dan mempunyai alamat Kampung Kuala Sanglang, Perlis mungkin keputusan bekalan makanan - Foto NSTP/Amran Hamid
Noraslinda Abdul Wahab,34, (kanan) bersama ahli keluarga yang dipakaikan gelang merah jambu di hadapan rumah mereka di Kampung Kuala Sanglang Kedah dan mempunyai alamat Kampung Kuala Sanglang, Perlis mungkin keputusan bekalan makanan - Foto NSTP/Amran Hamid

100 penduduk TEMCO mungkin terputus bekalan makanan

KANGAR: Sekurang-kurangnya 20 keluarga di Kuala Sanglang, Kedah, terjejas kemungkinan terputus bekalan makanan berikutan berlaku kekeliruan kerana kedudukan di sempadan Kedah-Perlis.

Mereka tinggal di Kuala Sanglang di bahagian negeri Kedah tetapi membuat saringan COVID-19 di Pusat Kesihatan Kuala Sanglang, Perlis sebelum ini.

Mereka kemudian dikehendaki memakai gelang merah jambu dan tidak boleh keluar dari kawasan PKPD TEMCO itu.

Pada masa ini, mereka mendakwa tidak menerima sebarang bantuan sejak PKPD TEMCO dikuat kuasa di Kuala Sanglang, Perlis dua hari lalu.

Penduduk, Ayob Salim, 51, berkata dia tidak dapat keluar mendapatkan stok makanan di kedai runcit berhampiran meskipun kediamannya tidak diwartakan sebagai kawasan TEMCO.

"Bagaimana hendak beli barang jika dipakaikan gelang merah jambu berikutan kami dikhuatiri mempunyai kontak dengan individu di kawasan yang dilaksanakan TEMCO.

"Apabila ingin masuk ke kawasan TEMCO, pihak berkuasa tidak membenarkan kerana kami menetap di Kuala Sanglang, Kedah.

"Jika ke kedai berhampiran pula, kami bimbang diviralkan di media sosial sehingga dikenakan kompaun. Sehingga hari ini tiada siapa pun datang ke rumah kami untuk salurkan bantuan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Perkara sama turut diluahkan Norhaslinda Abdul Wahab, 34, apabila dia bersama ahli keluarga seramai 10 orang terpaksa mencatu makanan kerana tidak menerima apa-apa bantuan.

"Saya anggarkan hampir 100 penduduk terkesan, ada juga antara kami terpaksa meminta bantuan saudara atau rakan di luar kawasan TEMCO menghantar makanan.

"Pada masa sama, duit simpanan juga berkurangan. Jika kami ke bank dengan memakai gelang merah jambu pasti kami akan dikenakan tindakan. Saya berharap pihak berkuasa dapat melihat perkara ini kerana kami betul-betul terdesak," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor ketika dihubungi berkata, berlaku kekeliruan antara penduduk di kawasan berkenaan dengan pihak berkuasa dalam menyalurkan bantuan.

"Mereka tinggal di Kuala Sanglang, Kedah, tetapi apa yang berlaku mereka menjalani ujian saringan di Klinik Kesihatan Kuala Sanglang, Perlis, yang terletak di kawasan yang digazetkan bagi pelaksanaan TEMCO.

"Pihak berwajib terpaksa mengeluarkan gelang merah jambu dan mengarahkan mereka agar menjalani kuarantin di rumah," katanya yang terbabit secara langsung dalam pengagihan bantuan di kawasan TEMCO.

Jelasnya, pihaknya akan memaklumkan situasi ini kepada pihak berkuasa di Kedah terutamanya Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) agar sesuatu dapat dilakukan bagi membantu mereka.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X