Isnin, 27 Julai 2020 | 9:47am
SEMBURAN kabus sebagai langkah pencegahan denggi untuk mengelak pembiakan nyamuk Aedes- Foto/BERNAMA
SEMBURAN kabus sebagai langkah pencegahan denggi untuk mengelak pembiakan nyamuk Aedes- Foto/BERNAMA

Kes denggi: 6 kematian di Pahang

AHANG: 6 kematian akibat denggi di Pahang

bhnews@bh.com.my

KUANTAN: Sebanyak enam kematian dilaporkan akibat demam denggi di Pahang dari 1 Januari hingga 18 Julai lalu, berbanding empat kematian bagi tempoh sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman, berkata daripada jumlah itu Kuantan merekodkan empat kematian.

Katanya, kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang memandang serius jumlah kes kematian terutama peningkatan kes yang direkodkan ketika ini.

"Setakat 18 Julai lalu, sebanyak 1,762 kes demam denggi dilaporkan iaitu peningkatan 735 kes atau 72 peratus berbanding 1,027 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

"Semua daerah di Pahang menunjukkan peningkatan kes kecuali di Temerloh dan Jerantut. Daerah Kuantan merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu 1,241 kes atau 70.4 peratus di negeri ini.

"Di Pahang, sebanyak 92 lokaliti bermasalah dengan peningkatan 58.6 peratus berbanding 58 lokaliti bagi tempoh sama tahun lalu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagi tempoh sama, beliau berkata, JKN Pahang mengeluarkan kompaun kepada 1,089 pemilik premis dengan jumlah keseluruhan RM544,500.

Katanya, tindakan penguatkuasaan itu dilakukan mengikut Akta Pemusnahan Serangan Pembawa Penyakit (APSPP) 1975.

"JKN juga mengeluarkan 345 Notis Seksyen 8 bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi pembiakan nyamuk Aedes.

"Bagi pelaksanaan pencegahan dan kawalan kes demam denggi, sebanyak 150,377 semburan kabus dan 148,707 pemeriksaan pembiakan nyamuk Aedes dilakukan.

"Dalam kes denggi ini, sebaiknya mendapatkan pemeriksaan dan rawatan awal sekiranya mengalami tanda dan gejala demam denggi seperti demam, sakit badan dan sakit sendi di hospital dan klinik kesihatan.

"Kes denggi tidak boleh ditangani oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sahaja tetapi kerjasama semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), masyarakat, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

Berita Harian X