Sabtu, 25 Julai 2020 | 9:45am
Kereta yang dipercayai digunakan suspek dalam cubaan samun di sebuah rumah di Jalan Pokok Sakat, Klang. - Ihsan IPD Klang Selatan
Kereta yang dipercayai digunakan suspek dalam cubaan samun di sebuah rumah di Jalan Pokok Sakat, Klang. - Ihsan IPD Klang Selatan

Tiga ditahan terbabit cubaan samun

KLANG: Polis menahan tiga individu dipercayai terbabit dalam cubaan samun sebuah rumah di Jalan Pokok Sakat dekat sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata dalam kejadian pada jam 2.40 petang, Khamis lalu, sekumpulan tiga lelaki cuba memanjat masuk ke sebuah rumah di Jalan Pokok Sakat.

Bagaimanapun, cubaan itu tidak berjaya apabila rakan kepada pemilik rumah ternampak suspek.

"Suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Perodua Axia dan turut melanggar bonet kereta rakan pemilik rumah yang cuba mengekori mereka.

"Salah seorang daripada suspek juga sempat keluar dari kereta dan mengugut rakan pemilik rumah dengan menggunakan parang sebelum melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Klang Selatan menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kereta Perodua Axia yang berada di tepi Jalan Bandar Baru Klang (Klang Utara) pada jam 2 pagi semalam.

Katanya, ketika polis memperkenalkan diri, suspek cuba memecut kereta dan melanggar dua kereta yang dinaiki polis yang berada di hadapan dan belakang kereta berkenaan.

"Untuk mempertahankan diri dan keselamatan, polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan yang mana dua das disasarkan ke tayar hadapan sebelah penumpang dan satu das di tayar belakang sebelah penumpang.

"Dua individu ditahan dalam kereta berkenaan iaitu seorang lelaki berusia 38 tahun dan wanita berusia 31 manakala tangkapan susulan membabitkan seorang lagi lelaki berusia 30 tahun di sebuah rumah di Bukit Raja," katanya.

Shamsul Amar berkata, ketiga-tiga suspek mempunyai rekod lampau membabitkan pelbagai jenayah termasuk dadah dan pihaknya kini sedang giat mengesan dua lagi lelaki dipercayai rakan sejenayah suspek.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan manakala IPD Klang Utara membuka siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X