Khamis, 23 Julai 2020 | 6:04pm
Wajib solat Jumaat selepas mendapat pengesahan kehadiran. - Foto NSTP/MUHD ASYRAF SAWAL
Wajib solat Jumaat selepas mendapat pengesahan kehadiran. - Foto NSTP/MUHD ASYRAF SAWAL

Wajib solat Jumaat jika dapat kebenaran

SHAH ALAM: Umat Islam di Negeri Selangor wajib mendaftarkan diri untuk solat Jumaat dan wajib mendirikan solat Jumaat, jika mendapat kebenaran hadir.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid, berkata umat Islam wajib solat Jumaat berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, dengan kehadiran mengikut kapasiti sebenar jemaah masjid dan surau.

"Umat Islam yang memenuhi syarat mendirikan solat Jumaat mesti mendaftar atau berusaha untuk hadir menggunakan kaedah yang ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

"Bagi mereka yang mendapat pengesahan kehadiran untuk mendirikan solat Jumaat, wajib hadir bagi menunaikan kewajipan solat Jumaat.

"Oleh itu, berdosalah sekiranya dengan sengaja tidak hadir tanpa sebarang uzur syarie atau dengan sengaja memberikan pengesahan terbabit kepada orang lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Tamyes berkata, sekiranya terdapat keuzuran, pengesahan kehadiran hendaklah dikembalikan kepada masjid atau surau untuk diisi oleh jemaah lain yang menunggu giliran.

"Bagi masjid atau surau kebenaran Jumaat di kawasan yang jemaahnya tidak melebihi jumlah maksimum, ahli kariah yang memenuhi syarat mendirikan solat Jumaat di kawasan itu wajib hadir solat Jumaat mengikut kaedah yang ditetapkan oleh masjid atau surau kebenaran Jumaat, sekalipun tiada jemputan.

"Pihak masjid dan surau kebenaran Jumaat hendaklah memastikan maklumat pendaftaran kehadiran solat Jumaat sampai kepada semua ahli kariah," katanya.

Berita Harian X