Khamis, 23 Julai 2020 | 7:41am
Anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan operasi memindahkan penduduk terjejas banjir kilat di Kampung Rasau Tengah dan Trolak Pekan. - Ihsan APM
Anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan operasi memindahkan penduduk terjejas banjir kilat di Kampung Rasau Tengah dan Trolak Pekan. - Ihsan APM

Banjir kilat menyebabkan 76 penduduk dipindahkan ke PPS

SLIM RIVER: Hujan lebat yang berterusan sejak petang semalam sehingga malam tadi menyebabkan kawasan Trolak Pekan dan Kampung Rasau Tengah dilanda banjir kilat, dekat sini.

Kejadian menyebabkan 76 penduduk dari dua kampung Kampung Rasau Tengah dan Trolak Pekan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Seramai 22 penduduk Kampung Rasau Tengah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Kampung Rasau manakala 54 penduduk Trolak Pekan pula dipindahkan ke PPS di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Trolak Pekan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian banjir kilat itu jam 9.00 malam.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Slim River ke tempat kejadian sejurus menerima maklumat.

"Paras air naik kira-kira dua meter menyebabkan dua PPS dibuka yang membabitkan tiga keluarga di Kampung Rasau Tengah dan 13 keluarga di Trolak Pekan.

"Pihak bomba masih memantau kawasan yang dilanda banjir kilat itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Muallim dan Pejabat Daerah Muallim serta anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah turut bersama di lokasi kejadian bagi membantu mangsa banjir kilat di tempat kejadian.

Berita Harian X