Selasa, 21 Julai 2020 | 10:15am

Kerja pembaikan paip pecah di Klang, dijangka siap 6 petang esok

KUALA LUMPUR: Kerja-kerja pembaikan paip pecah di kawasan tanah mendap di simpang jalan antara Jalan Johan Setia dan Jalan Langat, Klang dijangka siap pada jam 6 petang, esok.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri dalam kenyataan hari ini, memaklumkan bekalan air akan disalurkan kepada pengguna selepas kerja pembaikan siap dan dijangka pulih sepenuhnya di kawasan terlibat pada jam 6 pagi, Khamis ini.

Bantuan bekalan air kecemasan melalui lori tangki ke kawasan terlibat di wilayah Klang dan Kuala Langat telah digerakkan bagi membantu pengguna yang terjejas.

"Pengguna boleh menghubungi talian 15300 dan Whatsapp 019-2800919 atau 019-2816793 untuk memohon bantuan bekalan air kecemasan ini," menurut kenyataan itu.

Air Selangor akan memaklumkan perkembangan kerja pembaikan dari semasa ke semasa melalui semua saluran komunikasi rasmi di Facebook, Twitter, Instagram dan aplikasi telefon pintar Air Selangor atau layari laman web di www.airselangor.com.

Semalam dilaporkan, beberapa kawasan di Klang dan Kuala Langat dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual, susulan paip pecah di simpang jalan antara Jalan Johan Setia dan Jalan Langat, Klang berikutan tanah mendap yang berlaku di tapak kerja projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).

– BERNAMA

Gambar hiasan
Gambar hiasan
Berita Harian X