Isnin, 22 Jun 2020 | 1:53pm
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun (tengah) bersama pihak pengurusan institusi tahfiz dan pondok Negeri Sembilan di Majlis Penyampaian Bantuan Sekolah Tahfiz dan Agama Swasta, Seremban. - Foto NSTP/Mohd Amin Jalil
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun (tengah) bersama pihak pengurusan institusi tahfiz dan pondok Negeri Sembilan di Majlis Penyampaian Bantuan Sekolah Tahfiz dan Agama Swasta, Seremban. - Foto NSTP/Mohd Amin Jalil

52 tahfiz NS terima bantuan RM402,000

SEREMBAN: Sebanyak 52 institusi pengajian yang bernaung di bawah Persatuan Institusi Tahfiz dan Pondok (PINTAS) di Negeri Sembilan menarik nafas lega apabila menerima bantuan dana daripada kerajaan negeri sebanyak RM402,000.

Pengerusi PINTAS, Mohd Ali Abd Kadir, berkata bantuan itu dapat memberi manfaat kepada sejumlah 3,000 pelajar.

Katanya, bantuan dana kali kedua diterima selepas kali pertama tahun lalu, dapat memudahkan lagi urusan pengurusan dan penyediaan kembali sesi pengajian yang akan bermula tidak lama lagi selepas sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Bantuan ini amat bermakna bagi kami dalam melancarkan urusan pengajian 3,000 pelajar. Ketika ini kami sedang menyiapkan prosedur operasi standard (SOP) untuk membolehkan pengajian dapat diteruskan.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri khususnya Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, yang bersetuju menyalurkan dana kepada semua institusi termasuk yang belum berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS)," katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Bantuan Sekolah Tahfiz dan Agama Swasta di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun. Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malek dan Pengarah JHEAINS, Mohd Zaidi Ramli.

Mohd Ali berkata, pihaknya akan memastikan semua institusi yang bergabung di bawah PINTAS berdaftar dengan JHEAINS.

Beliau berkata, setakat ini, hanya 26 daripada 52 institusi ini yang sudah berdaftar dengan JHEAINS, manakala selebihnya dalam proses pendaftaran.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X