Rabu, 17 Jun 2020 | 5:52pm
Jemaah mendengar khutbah dibacakan Khatib Imam Abdul Rahman Lee Tahire ketika menunaikan solat Jumaat di Masjid Baitur Rahman, Kampung Muhibbah BAL, Tawau pada 5 Jun lalu. - Foto BERNAMA
Jemaah mendengar khutbah dibacakan Khatib Imam Abdul Rahman Lee Tahire ketika menunaikan solat Jumaat di Masjid Baitur Rahman, Kampung Muhibbah BAL, Tawau pada 5 Jun lalu. - Foto BERNAMA

Kebenaran solat berjemaah, Jumaat berdasarkan keluasan masjid, surau

KOTA KINABALU: Kebenaran solat berjemaah lima waktu dan solat Jumaat berdasarkan kapasiti keluasan masjid atau surau yang akan berkuat kuasa Jumaat ini, antara ketetapan diputuskan Muzakarah Khas Majlis Fatwa Negeri Sabah pada 12 Jun lalu.

Pengerusi Majlis Fatwa Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar, berkata ia juga tertakluk kepada kemampuan ahli jawatankuasa masjid atau surau mengambil kira pematuhan prosedur operasi standard(SOP) yang menetapkan penjarakan satu meter antara jemaah.

Beliau berkata, muzakarah juga menetapkan harus mengerjakan solat Jumaat di masjid atau surau yang dibenarkan solat Jumaat walaupun bilangan jemaahnya kurang 40 orang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Katanya, kewajipan solat Jumaat gugur ke atas mereka yang tidak terpilih untuk hadir solat Jumaat pada hari yang berkenaan dan mereka diwajibkan menunaikan solat fardu Zuhur di kediaman masing-masing.

"Ruang yang terhad dibuka di luar ruang masjid/surau yang dibenarkan oleh pihak berwajib untuk mereka yang ingin singgah solat seperti musafir dan seumpamanya," katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Bungsu @ Aziz berkata jemaah yang bergejala seperti demam, batuk, selsema, sesak nafas dan sakit tekak termasuk yang menghidap penyakit kronik, kanak-kanak yang berumur 15 tahun ke bawah dan warganegara asing tidak dibenarkan hadir dalam tempoh PKPP.

Katanya, setiap jemaah hendaklah membuat pengesanan suhu badan, memakai pelitup separuh muka dan penggunaan pensanitasi tangan serta merekodkan kehadiran.

"Mengamalkan penjarakan sosial termasuk semasa solat tidak kurang satu meter, mengelakkan bersalaman dan memakai pelitup separuh muka termasuk ketika menunaikan solat," katanya.

Muzakarah itu turut memutuskan kebenaran aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan di masjid dan surau seperti majlis ilmu, majlis akad nikah, ibadah korban dan pengurusan jenazah.

Berita Harian X