Selasa, 16 Jun 2020 | 9:57am
Kakitangan Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Seremban meletakkan notis kepada kenderaan terbiar di kawasan Taman Gadong Jaya, Labu yang dipercayai menjadi tempat pembiakan Aedes. - Foto NSTP/Mohd Amin Jalil
Kakitangan Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Seremban meletakkan notis kepada kenderaan terbiar di kawasan Taman Gadong Jaya, Labu yang dipercayai menjadi tempat pembiakan Aedes. - Foto NSTP/Mohd Amin Jalil

Kereta terbiar jadi tempat pembiakan Aedes

SEREMBAN: Kenderaan terbiar dengan air bertakung di dalamnya yang banyak terdapat di sekitar pusat bandar dan taman perumahan di daerah ini, dikenal pasti antara punca pembiakan Aedes sekali gus menyumbang kepada peningkatan kes denggi di negeri ini.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, meminta semua pihak khususnya penduduk di Negeri Sembilan memberikan kerjasama dalam usaha menangani kes denggi yang semakin membimbangkan.

Katanya, tanpa kerjasama dan komitmen semua pihak, usaha mengurangkan kes denggi sukar dicapai.

"Bantulah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dengan memastikan kenderaan yang tidak digunakan itu dilupuskan dengan cara yang betul.

"Saya berharap agar seluruh masyarakat peka dan sensitif terhadap perkara ini," katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook, hari ini.

Negeri Sembilan merekodkan peningkatan kes denggi 16.9 peratus apabila mencatatkan 1,281 kes dari awal tahun ini hingga 6 Jun lalu, berbanding 1,096 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Taburan kumulatif kes denggi di Negeri Sembilan tahun ini adalah sebanyak 1,072 kes di daerah Seremban, Port Dickson (50), Rembau (49), Tampin (40), Jempol (34), Kuala Pilah (19) dan 17 kes di daerah Jelebu.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata pihaknya sudah meminta MBS bertindak tegas terhadap pemilik kenderaan terpakai yang terbiar hingga menyebabkan pembiakan Aedes berlaku di situ.

Beliau berkata, Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan MBS sedang melaksanakan tindakan pemeriksaan berdasarkan siasatan dan aduan selepas mendapati terdapat banyak kenderaan terbiar dan menjadi halangan kepada kenderaan orang awam.

Berita Harian X