Jumaat, 12 Jun 2020 | 9:49am
Imam dan jemaah berzikir selepas menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid al-Ehsan, Kampung Londang, Masjid Tanah dekat Alor Gajah, awal pagi tadi
Imam dan jemaah berzikir selepas menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid al-Ehsan, Kampung Londang, Masjid Tanah dekat Alor Gajah, awal pagi tadi

Linangan air mata iringi solat Subuh berjemaah

ALOR GAJAH: Linangan air mata mengiringi jemaah yang bersolat Subuh di Masjid Al-Ehsan di sini, cukup menggambarkan betapa bersyukurnya mereka dapat kembali mengerjakan ibadat itu awal pagi ini.

Kesyukuran itu membuatkan mereka menitiskan air mata kerana masih berpeluang kembali ke masjid selepas lebih dua bulan terpaksa berjemaah di kediaman masing-masing susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Mereka amat gembira selepas kerajaan negeri membenarkan umat Islam kembali berjemaah di masjid dan surau, bukan setakat menunaikan solat Jumaat hari ini, malah solat fardu dan aktiviti keagamaan lain, terutama kelas takmir, dengan syarat bilangan jemaah tidak lebih daripada 40 peratus kapasiti keluasannya.

Zulkifly Hussain, 52, berkata beliau amat bersyukur apabila mendapat berita kerajaan negeri memberikan kebenaran itu semalam dan tidak mahu melepaskan peluang menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid.

"Alhamdulillah, Allah memperkenankan doa umat Islam di negeri ini supaya mengizinkan hamba-Nya untuk menunaikan solat berjemaah di masjid.

"Pandemik COVID-19 adalah ujian Allah kepada hamba-Nya supaya manusia lebih bersyukur dengan rahmat-Nya dan menjauhi perkara yang dilarang-Nya, terutama maksiat," katanya sambil menyeka air mata ketika ditemui di Masjid al-Ehsan, Kampung Londang, Masjid Tanah dekat sini hari ini.

Che Man Md Tawi, 60, berkata kebenaran diberikan kerajaan negeri itu amat melegakannya selepas lebih dua bulan menahan kerinduan untuk berjemaah di masjid akibat PKP.

"Alhamdulillah, saya amat bersyukur dapat kembali menjejakkan kaki di masjid dan berdoa agar wabak COVID-19 segera berakhir," katanya.

Azizan Hassan, 42, berkata beliau tidak dapat tidur lena malam tadi kerana terlalu teruja untuk kembali berjemaah di masjid awal pagi ini.

"Walaupun teruja dapat kembali ke masjid, kita jangan lupa jarak satu meter dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya sambil mengesat air mata.

Sementara itu, pengerusi masjid berkenaan, Datuk Abdul Mutalif Che Mat, berkata jemaah harus sentiasa mematuhi SOP bagi mengelakkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mengambil tindakan tidak membenarkan solat berjemaah ditunaikan di masjid itu.

"Pegawai JAIM dan polis akan sentiasa memantau semua masjid di negeri ini dan jika ada yang melanggar SOP, JAIM tidak akan membenarkan kita solat di masjid," katanya.

Imam Satu masjid itu, Nawawi Abdullah, ketika menyampaikan tazkirah ringkas selepas solat berkata, COVID-19 adalah ujian Allah ke atas manusia untuk melihat siapa yang bersyukur dan yang kufur dengan nikmat Allah.

"Hari ini Allah izinkan kita menunaikan solat Subuh berjemaah selepas lebih dua bulan kita solat di rumah dan seharusnya wabak itu mengajar manusia agar berduyun-duyun ke masjid," katanya.

Berita Harian X