Selasa, 9 Jun 2020 | 10:12pm
Kes demam denggi meningkat di beberapa negeri. - Foto NSTP/AMRAN HAMID
Kes demam denggi meningkat di beberapa negeri. - Foto NSTP/AMRAN HAMID

Denggi: Kes meningkat di Negeri Sembilan

SEREMBAN: Negeri Sembilan merekodkan peningkatan kes denggi sebanyak 16.9 peratus apabila mencatatkan 1,281 kes bermula awal tahun ini sehingga 6 Jun lalu, berbanding 1,096 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata taburan kumulatif kes denggi di Negeri Sembilan tahun ini sebanyak 1,072 kes di daerah Seremban, Port Dickson (50), Rembau (49), Tampin (40), Jempol (34), Kuala Pilah (19) dan 17 kes di daerah Jelebu.

Beliau berkata, bagi tempoh 31 Mei hingga 6 Jun sahaja sudah merekodkan sebanyak 65 kes denggi.

"Secara purata sememangnya berlaku peningkatan kes denggi di negeri ini dan ia amat membimbangkan.

"Bagaimanapun tiada kes kematian denggi baharu dilaporkan menjadikan kumulatif kematian denggi sebanyak empat kes sehingga 6 Jun lalu.

"Ini menunjukan kadar kematian adalah sebanyak 0.4 peratus berbanding enam kes bagi tempoh yang sama tahun lalu," katanya di sini, hari ini.

Veerapan berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan mendapati terdapat 31 kumulatif lokaliti wabak yang masih aktif yang kebanyakannya sekitar daerah Seremban.

Menurutnya, aktiviti pencegahan dan kawalan akan diteruskan pada masa ini walaupun terdapat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, aktiviti yang dijalankan termasuk mencari dan memusnahkan tempat pembiakan aedes ditumpukan di luar premis kediaman dan kawasan persekitaran.

"Aktiviti mengesan jentik-jentik aedes serta semburan pengasapan dan promosi kesihatan sentiasa diperhebatkan.

"Namun, operasi gempur aedes dan gotong-royong yang membabitkan penyertaan masyarakat ditangguhkan buat sementara kerana PKP dan PKPB," katanya.

Berita Harian X