Selasa, 9 Jun 2020 | 9:40pm
 Pekerja pihak berkuasa tempatan melakukan operasi semburan bagi membunuh nyamuk aedes. - Gambar hiasan NSTP/FAIZ ANUAR
Pekerja pihak berkuasa tempatan melakukan operasi semburan bagi membunuh nyamuk aedes. - Gambar hiasan NSTP/FAIZ ANUAR

Demam denggi di Pulau Pinang terkawal

GEORGETOWN: Kes demam denggi di Pulau Pinang menunjukkan penurunan dengan jumlah terkumpul 387 kes dari Januari hingga bulan ini, berbanding 2,808 kes bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.

Ini bermakna jumlah penurunan yang direkodkan sebanyak 2,421 kes, iaitu 86.21 peratus.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr Asmayani Khalib, berkata terdapat satu sahaja kes kematian akibat demam denggi dilaporkan sehingga minggu ke-23 bagi tahun ini, berbanding lapan kematian bagi tempoh yang sama tahun lalu.

"Situasi denggi di negeri ini masih terkawal, bahkan menunjukkan penurunan kes yang amat besar, termasuk kes kematian yang menunjukkan penurunan sebanyak tujuh kes iaitu 87.5 peratus.

"Jabatan kesihatan menyeru orang ramai supaya terus mengambil langkah untuk menghentikan penularan nyamuk aedes," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Menurutnya, bagi penyakit Chikungunya pula, sehingga 6 Jun lalu, sebanyak 157 kes dilaporkan.

"Untuk penyakit ini, terdapat 10 lokaliti wabak terkawal, iaitu di lokaliti Taman Air Itam, Kampung Jalan Perak, Desa Permata, Flat Padang Tembak, Jalan Khoo Hye Keat, Lorong Sempadan, Kampung Pisang, Desa Baiduri, Kiara Indah Condo dari daerah Timur Laut dan lokaliti Perkampungan Permatang Tinggi Zon C dari daerah Seberang Perai Tengah," katanya.

Orang ramai diminta terus mengamalkan kebersihan diri dan tempat tinggal selain mendapatkan rawatan terus sekiranya mempunyai gejala seperti sakit badan, sendi muntah, ruam dan kurang selera makan.

Berita Harian X