X
Isnin, 1 Jun 2020 | 10:04am
Anggota Bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat Paka memusnahkan sarang tebuan malam tadi. - Foto NSTP/Rosli Ilham
Anggota Bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat Paka memusnahkan sarang tebuan malam tadi. - Foto NSTP/Rosli Ilham

Bomba musnah sarang tebuan ragut nyawa Nur Nazihah

DUNGUN: Sarang tebuan yang menyebabkan kanak-kanak, Nur Nazihah Mohd Sabri maut disengat tebuan terbabit, dimusnahkan malam tadi.

Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Paka, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Rezuan Adnan, berkata kerja-kerja memusnahkan sarang tebuan terbabit dilakukan, jam 10 malam.

Katanya, seramai empat anggota ditugaskan menjalankan kerja pemusnahan terbabit dan dilakukan pada waktu malam, bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

"Sebelum itu kita telah menjalankan siasatan di sekitar kawasan kejadian dan mendapati hanya terdapat satu sarang tebuan di situ dan telah kita musnahkannya," katanya yang turut menyertai operasi itu.

Mohd Rezuan berkata, pihaknya turut bersedih dengan kejadian yang menimpa Nur Nazihah dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

"Kami bersimpati dan sedih kerana kejadian yang menimpa adik Nur Nazihah dan kes ini adalah kes pertama di Paka yang membawa kematian," katanya.

Katanya, sepanjang Januari hingga Mei tahun ini, pihaknya telah berjaya memusnahkan lima sarang tebuan.

"Sepanjang tahun lalu, kita berjaya memusnahkan 16 sarang manakala 25 sarang dimusnahkan pada tahun 2018.

"Kita meminta orang ramai segera melaporkan kepada pihak Bomba apabila terjumpa dengan sarang tebuan bagi memudahkan pihak kami bertindak dengan pantas,"katanya.

Dalam kejadian Jumaat, Nur Nazihah, 8, bersama adiknya, Muhammad Azib, 6, disengat tebuan ketika bermain bersama seorang lagi kakak mereka berusia 11 tahun, di kawasan semak berhampiran kediaman mereka di Felda Kerteh 4, jam 3 petang.

Mangsa disahkan meninggal, jam 1.35 pagi semalam ketika diberi rawatan di Hospital Nur Zahirah HSNZ Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, adiknya masih menerima rawatan di hospital yang sama dan keadaannya dilaporkan stabil.

Berita Harian X