Jumaat, 29 Mei 2020 | 7:19pm
Permohonan untuk merentas negeri dengan alasan paling munasabah sahaja yang akan dipertimbangkan.- Foto hiasan
Permohonan untuk merentas negeri dengan alasan paling munasabah sahaja yang akan dipertimbangkan.- Foto hiasan

Polis Selangor terima 1,902 permohonan rentas negeri

SHAH ALAM: Sebanyak 1,902 permohonan untuk permit rentas negeri diterima Polis Selangor semalam.

Jurucakap Khas Op COVID-19 Polis Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1,674 permohonan diluluskan kerana menepati syarat yang ditetapkan.

"Secara pecahan, 484 permohonan membabitkan urusan rawatan perubatan, 181 kematian, 140 permohonan pasangan suami isteri jarak jauh serta 869 lagi adalah kecemasan pelbagai.

"Polis Selangor hanya akan mempertimbangkan permohonan untuk merentas negeri dengan alasan paling munasabah selagi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Sementara itu, Muhammad Yazid memaklumkan, sebanyak 138 kompaun dikeluarkan Polis Selangor atas kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran sejak 22 Mei sehingga semalam.

Katanya, dalam tempoh yang sama sebanyak 4,832 kenderaan yang cuba merentas negeri juga diarah patah balik

"Bagi tempoh semalam sahaja, sebanyak 20,670 kenderaan diperiksa dan 44 daripadanya diarah patah balik. Sebanyak 37 kompaun dikeluarkan dan 10 tangkapan dilakukan," katanya.

Beliau berkata, bagi Sekatan Jalan Raya (SJR) di lebuh raya, pihaknya menumpukan kepada lima lokasi terutamanya di laluan masuk ke Selangor manakala di peringat dalam negeri, 11 SJR dijalankan di lima daerah.

Jelasnya, polis juga akan mempertingkatkan kawalan menerusi SJR di kawasan strategik bagi mengesan pihak yang cuba menyelinap balik ke lokasi asal selepas pulang berhari raya di kampung," katanya.

"Tidak ada yang akan terlepas kerana kita menjalankan pemantauan dan pemeriksaan sebelum dan selepas perayaan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X