Khamis, 28 Mei 2020 | 11:50am
Petugas Unit Vektor Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan melakukan semburan dalam usaha membasmi pembiakan nyamuk aedes Kampung Sentosa, Seremban. - Foto hiasan NSTP/ADZLAN SIDEK.
Petugas Unit Vektor Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan melakukan semburan dalam usaha membasmi pembiakan nyamuk aedes Kampung Sentosa, Seremban. - Foto hiasan NSTP/ADZLAN SIDEK.

Kes denggi di Negeri Sembilan meningkat 11.6 peratus

SEREMBAN: Jumlah terkumpul kes denggi di Negeri Sembilan bagi tempoh Januari hingga 23 Mei meningkat 11.6 peratus, iaitu 1,138 kes berbanding 1,020 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata pada minggu ke-21 sahaja iaitu dari 17 Mei hingga 23 Mei, sebanyak 64 kes direkodkan.

"Taburan kumulatif kes denggi di Negeri Sembilan pada tahun ini, iaitu sebanyak 937 kes di daerah Seremban, 48 kes (Port Dickson), 47 kes (Rembau), 38 kes (Tampin), 33 kes (Jempol), 19 kes (Kuala Pilah) dan 16 kes di daerah Jelebu.

"Terdapat satu kes kematian denggi dilaporkan di daerah Seremban menjadikan kumulatif kematian denggi sebanyak empat kes (bagi Januari) sehingga 23 Mei 2020, berbanding lima kes pada tempoh yang sama 2019," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kumulatif lokaliti wabak yang masih aktif sebanyak 23 lokaliti dengan 21 lokaliti di daerah Seremban dan satu lokaliti masing-masing di daerah Rembau dan Kuala Pilah.

"Aktiviti pencegahan dan kawalan diteruskan pada masa ini walaupun Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan mulai 18 Mac, dengan aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan aedes ditumpukan di luar premis kediaman dan kawasan persekitaran, aktiviti larviciding, semburan pengasapan dan promosi kesihatan.

"Operasi gempur aedes dan gotong-royong yang membabitkan masyarakat ditangguhkan," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X