Rabu, 27 Mei 2020 | 7:43pm
Muhammad Aiman menentukan arah kiblat dengan menegakkan kayu antara jam 5.10 hingga 5.20 petang di luar dapur kediamannya di Kampung Londang, Masjid Tanah dekat Alor Gajah. - Foto Hassan Omar
Muhammad Aiman menentukan arah kiblat dengan menegakkan kayu antara jam 5.10 hingga 5.20 petang di luar dapur kediamannya di Kampung Londang, Masjid Tanah dekat Alor Gajah. - Foto Hassan Omar

Istiwa' A'zam tentukan ketepatan arah kiblat

ALOR GAJAH: "Alhamdulillah, dengan izin Allah yang memberikan peristiwa Istiwa' A'zam pada petang ini, dapat kami tentukan arah kiblat lebih tepat berbanding sebelum ini berdasarkan aplikasi Google.

"Hanya dengan pantulan cahaya matahari pada jam 5.16 petang tadi, kami dapat membetulkan arah kiblat di kediaman kami...insya-Allah ia akan terus menjadi pedoman untuk masa akan datang," kata Muhammad Aiman Hassan.

Penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok Kedah itu berkata, beliau berpeluang menggunakan kesempatan waktu antara jam 5.10 hingga 5.20 petang untuk menentukan arah kiblat yang betul berdasarkan pantulan cahaya matahari pada kayu yang ditegakkannya di bahagian luar dapur kediamannya.

Muhammad Aiman, 22, berdasarkan penjelasan Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil yang menganjurkan umat Islam menegakkan tiang dengan menghadap matahari pada jam 5.16 petang ini, beliau yakin apa yang dilakukannya menepati penjelasan berkenaan.

"Berasaskan bayang-bayang kayu ini, kami mengubah sedikit kedudukan kiblat di rumahnya sejajar arah bayang-bayang kayu berkenaan," katanya ketika menentukan arah kiblat di kediamannya di Kampung Londang, Masjid Tanah dekat sini, hari ini.

Sebelum itu, Abdul Halim dilaporkan meminta umat Islam di negeri ini menyemak sendiri arah kiblat ketika fenomena Istiwa' A'zam, iaitu kedudukan matahari berada tepat di atas Kaabah hari ini.

Katanya, fenomena berkenaan berlaku dua kali tahun ini, iaitu pada jam 5.16 petang hari ini dan pada jam 5.28 petang 15 Julai ini. Ia menjadi penentu arah kiblat dengan memerhati bayang-bayang matahari yang dihasilkan.

Umat Islam mampu melakukannya dengan kaedah meletakkan sebatang tiang secara menegak di menghadap matahari dan jika arah bayang tegak lurus dengan saf, ia bermakna arah kiblat adalah tepat.

Berita Harian X