Jumaat, 22 Mei 2020 | 3:13pm

Plaza Tol Skudai sesak lebih 2KM

JOHOR BAHRU: Kesesakan sejauh lebih dua kilometer berlaku di Plaza Tol Skudai di sini, berikutan peningkatan mendadak jumlah kenderaan di laluan itu dua hari menjelang Aidilfitri.

Tinjauan di pintu masuk Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) itu mendapati peningkatan mendadak kenderaan menyebabkan kesesakan di situ tidak dapat dielakkan. Apatah lagi sekatan jalan raya (SJR) dilakukan di kedua-dua arah lebuh raya berkenaan bagi membolehkan polis memeriksa setiap kenderaan yang mahu memasuki laluan itu.

Jurucakap polis berkata, kesesakan mula berlaku sejak jam 9.30 pagi tadi.

Katanya, peningkatan mendadak kenderaan yang ingin memasuki lebuh raya itu menyebabkan kesesakan tidak dapat dielakkan apatah lagi setiap kenderaan perlu diperiksa bagi memastikan semua mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

"Selain memantau jumlah penumpang dalam setiap kenderaan, kami juga menasihatkan supaya tiada cubaan merentas negeri dibuat supaya mereka tidak dikompaun dan diarah berpatah balik semula ketika sampai di sempadan Johor nanti.

"Kebanyakan pengguna jalan raya menyatakan sama ada mahu merentas ke daerah, membeli-belah serta bertugas ketika ditanya alasan memasuki lebuh raya ini.

"Ada pengguna yang membawa muatan lebih di dalam kereta mereka juga diarahkan berpatah balik, manakala kebanyakan bas yang diperiksa pula tiada penumpang dan mahu pulang ke depoh masing-masing di kawasan asal," katanya.

Kesesakan lebih kritikal dijangkakan bermula jam 4 petang selepas tamat waktu bekerja hingga esok berikutan orang ramai mahu merentasi daerah bagi menyambut Aidilfitri.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Peningkatan kenderaan yang mendadak di pintu masuk Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berdekatan Plaza Tol Skudai menyebabkan kesesakan sejak jam 9 pagi tadi. - Foto NSTP/Mohd Azren Jamaludin
    Peningkatan kenderaan yang mendadak di pintu masuk Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berdekatan Plaza Tol Skudai menyebabkan kesesakan sejak jam 9 pagi tadi. - Foto NSTP/Mohd Azren Jamaludin
    Berita Harian X