Khamis, 14 Mei 2020 | 10:31pm

COVID-19: JKNT nafi ada kes di Pasar Borong Gong Pauh

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Terengganu (JKNT) menafikan maklumat tular dalam Facebook kononnya ada kes COVID-19 di Pasar Borong Gong Pauh, di sini, membabitkan pemandu lori sayur dari Selayang, Selangor.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus, berkata aktiviti saringan kesihatan dijalankan terhadap peniaga di pasar terbabit, hari ini, sebenarnya adalah langkah berjaga-jaga dan proaktif oleh pihaknya bagi mencegah penularan wabak itu di Terengganu.

"Pihak jabatan menafikan sepenuhnya kenyataan yang tular itu. Saringan berkenaan dibuat bagi mengekalkan status zon hijau di Terengganu.

"Pasar Borong Gong Pauh dipilih sebagai lokasi saringan kerana berisiko menjadi pusat penularan memandangkan ia adalah tempat tumpuan ramai dan sentiasa sesak dengan pengunjung," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, JKNT meminta orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan tidak menularkan sebarang berita tidak sahih atau palsu yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X