Khamis, 14 Mei 2020 | 5:38pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Sarawak belum benarkan solat Jumaat

KUCHING: Sarawak masih belum membenarkan solat Jumaat termasuk solat sunat tarawih diadakan di masjid dan surau.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, berkata keputusan mengenainya hanya akan dibuat selepas perbincangan Lembaga Fatwa Negeri dan Majlis Islam Sarawak (MIS).

Beliau berkata, pekeliling mengenainya akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

"Setakat ini, belum ada keputusan dan kita masih menguatkuasakan pekeliling terdahulu.

"MIS dalam notis penutupan sementara memaklumkan masjid dan surau di Sarawak kekal ditutup kepada awam ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Berdasarkan notis MIS itu, semua aktiviti termasuk solat Jumaat, solat lima waktu dan solat sunat tarawih berjemaah tidak dibenarkan mulai 13 Mei sehingga satu kenyataan rasmi yang baharu dikeluarkan.

Hanya pegawai masjid iaitu imam satu, imam dua, imam tiga, bilal dan merbot sahaja dibenarkan untuk hadir ke masjid bagi melaungkan azan mendirikan solat berjemaah lima waktu, solat sunat tarawih lapan rakaat di masjid dan surau.

Dr Abdul Rahman berkata, pegawai masjid yang hadir hendaklah mematuhi prosedur mengelak risiko jangkitan wabak COVID-19.

Berita Harian X