Ahad, 10 Mei 2020 | 2:51pm
Syazwan Najmi bersama bayi kembar perempuannya. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Syazwan Najmi bersama bayi kembar perempuannya. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

'Hanya dapat zahirkan perasaan sambut Hari Ibu pada bayi kami'

TUMPAT: "Hari ini ialah sambutan Hari Ibu tetapi arwah isteri tidak sempat menerima ucapan itu. Saya hanya dapat menzahirkan perasaan itu kepada dua anak kembar kami."

Perasaan pilu itu dikongsikan Syazwan Najmi Zulkarni yang kematian isteri, Siti Nur Nasuha Shafie, 23, selepas dua minggu melahirkan bayi kembar perempuan mereka.

Syazwan Najmi, 23, memaklumkan setiap kali memandang wajah bayi mereka, beliau akan teringatkan arwah isterinya.

Beliau juga sentiasa mengingati pesanan arwah isteri sebelum ini supaya membesarkan kedua-dua bayi mereka yang kini berusia 40 hari itu dengan baik jika berlaku sesuatu terhadap dirinya.

Katanya, kali pertama dapat memandang wajah dua bayi kembar itu pada 21 April lalu, air matanya terus bergenang dan membayangkan jika arwah isteri dapat bersama memangku anak mereka.

"Medina Sofiya (kembar bongsu) dibenarkan pulang terlebih dahulu, iaitu pada 21 April lalu, manakala Medina Safiya pula seminggu selepas itu kerana belum cukup timbangan dan tidak dapat membiasakan diri lagi dengan minum susu botol.

"Lebih seminggu pertama kepulangan, kembar ini dibawa ke rumah mentua di Kampung Ketil kerana keluarga arwah isteri merindui dua puteri kami ini yang juga cucu sulung mereka.

"Selepas itu, saya membawa Medina Sofiya dan Medina Safiya pulang ke rumah di Kampung Pak Keral hingga hari ini," katanya ketika ditemui di rumah mereka, di sini.

Media sebelum ini melaporkan kisah pilu Siti Nur Nasuha bertarung nyawa selama dua minggu sebelum meninggal dunia selepas bersalin akibat komplikasi dalaman.

Arwah juga tidak sempat menatap kedua-dua cahaya mata sulung kerana berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Menceritakan lanjut, Syazwan Najmi berkata, rutinnya mulai berubah sejak kehadiran 'buah cinta' bersama isteri apabila kerap berjaga malam bagi menukar lampin pakai buang dan membancuh susu untuk bayi mereka.

Beliau berkata, adakala terlintas dalam fikirannya sama ada mampu menggalas tanggungjawab sebagai bapa pada usia muda dengan menguruskan kedua-dua anak tanpa kehadiran isteri.

"Namun, saya sangat bernasib baik kerana keluarga kedua-dua belah pihak sangat membantu dan memberi sokongan penuh untuk saya mengharungi dugaan hidup ini.

"Hingga hari ini, saya masih mengunjungi pusara isteri di Tanah Perkuburan Kampung Ketil, Pengkalan Kubor, kecuali jika ada aral atau cuaca tidak mengizinkan.

"Cuma untuk masuk dan tidur di bilik tidur kami, saya masih belum ada kekuatan. Sekarang saya tidur bersama-sama dua bayi kembar di ruang tamu. Ruang tamu ini memang pernah diminta oleh arwah isteri untuk berpantang," katanya.

Berita Harian X