Khamis, 7 Mei 2020 | 2:22pm
Mohd ‘Athaillah Abdul Majid, 25, bersama pasangannya, Zaliqha Abdul Roni , 23, selepas dinikahkan di Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu hari ini.
Mohd ‘Athaillah Abdul Majid, 25, bersama pasangannya, Zaliqha Abdul Roni , 23, selepas dinikahkan di Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu hari ini.

PKP: Pengantin sendiri baca khutbah nikah

KUBANG PASU: "Saya tak sangka akan diberi kepercayaan membaca sendiri khutbah nikah dan doa selamat pernikahan sendiri, walaupun terkejut tapi Alhamdulillah semuanya berjalan lancar," kata Mohd 'Athaillah Abdul Majid.

Mohd Athaillah, 25, yang juga kepada Mudir Am Maahad Tarbiah Islamiah, Derang, Pokok Sena, berkata beliau dan isteri sepakat melangsungkan akad nikah di Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu hari ini, selepas majlis mereka pada 3 April lalu, ditangguhkan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau menyifatkan, situasi pernikahan hari ini kenangan manis buat mereka walaupun acara nikah berlangsung dalam keadaan serba ringkas.

"Saya dinikahkan sendiri oleh bapa mentua sambil disaksikan pegawai pejabat agama, bagi saya aturan Allah ini sangat indah.

"Selepas terpaksa ditangguh akibat PKP, saya jangka mungkin lambat lagi kami akan disatukan tapi tak sangka dua hari lepas isteri saya, Zaliqha Abdul Roni, 23, dihubungi kakitangan Pejabat Agama Daerah yang meminta kami bersedia untuk dinikahkan hari ini," katanya yang juga graduan Universiti Islam Negeri Raden Fatah, Palembang, Indonesia.

Mohd 'Athaillah dan isteri adalah di antara 11 pasangan yang dinikahkan di pejabat agama berkenaan hari ini.

Bagi seorang pemandu treler, Mohamad Ridzuan Che Othman, 26, pula gembira dapat meneruskan pernikahannya selepas tertangguh pada 17 April lalu.

Katanya, walaupun hampir semua persiapan sudah dilakukan, namun beliau dan isteri, Ku Faten Sharmila Ku Ibrahim, 23, terpaksa akur kepada keadaan semasa bagi mengekang pandemik Covid-19.

"Minggu depan saya akan kembali bekerja dan akan memandu ke negeri-negeri lain untuk menghantar barang, bagi saya buat yang wajib pun sudah memadai.

"Soal kenduri, saya serta keluarga akan bincang selepas ini," katanya yang berasal dari Perlis.

Sementara itu, Pegawai Agama Daerah Kubang Pasu, Syeikh Ahmad Muzammil Yub, berkata sebanyak 18 pasangan dinikahkan pada dua sesi akad nikah sebelum ini iaitu pada 28 dan 29 April lalu, manakala 11 pasangan dinikahkan hari ini.

Katanya, kesemua 29 pasangan yang dinikahkan ketika PKP adalah antara 77 pasangan yang mendapat kelulusan bernikah pada Mac lalu.

"Sebanyak 48 pasangan lagi tidak bersetuju bernikah ketika PKP," katanya.

Berita Harian X