Rabu, 6 Mei 2020 | 9:10am

Geng Pian tumpas

JITRA: Kegiatan licik Geng Pian melakukan kegiatan samun ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir apabila kesemua enam anggota kumpulan itu ditahan polis.

Kesemua mereka berusia antara 20 hingga 30-an itu dipercayai turut melakukan kegiatan samun di tiga daerah iaitu enam di Kubang Pasu dan masing-masing satu kes di Alor Setar dan Pendang.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata tangkapan dilakukan bermula 27 April hingga 30 April lalu.

Beliau berkata, suspek pertama ditahan pada 27 April lalu di kawasan di Kampung Belukar, Changlun.

Mohd Ismail berkata, susulan tangkapan itu sepasukan anggotanya dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu dan Balai Polis Bukit Kayu Hitam turut merampas sebuah kereta jenis Proton Saga BLM kelabu bernombor pendaftaran palsu yang disembunyikan di dalam semak.

"Kami kemudiannya kami berjaya menahan seorang lelaki disyaki anggota kumpulan yang sama untuk membantu siasatan.

"Berikutan itu, polis menyerbu sebuah inap desa di Air Hitam, di sini yang dipercayai disewa dua rakannya termasuk seorang daripadanya yang dipercayai ketua kumpulan itu yang merancang kegiatan samun berkenaan," katanya ketika ditemui di IPD Kubang Pasu, semalam.

Mohd Ismail berkata, dua lelaki itu dikatakan menyewa inap desa itu untuk bersembunyi selepas menyedari mereka diburu polis.

Hasil pemeriksaan turut menemui dadah disyaki syabu dan heroin.

"Selain itu, kita berjaya menahan dua lagi suspek yang juga anggota kumpulan itu sekitar jam 3 petang hingga 11 malam di lokasi berasingan iaitu di Tunjang dan Changlun sejurus selepas itu.

"Modus operandi yang dilakukan ahli kumpulan ini ialah dengan menyewa kereta dan menukarkannya dengan nombor pendaftaran palsu sebelum melakukan kegiatan samun di tiga daerah berkenaan," katanya.

Mohd Ismail berkata, mereka menyasarkan premis perniagaan dan rumah yang dihuni warga emas. Mereka turut menggunakan senjata tajam ketika menyamun selain dikatakan memakai pelitup muka.

Beliau berkata, suspek akan menyewa kenderaan tempatan seperti Perodua Axia dan Myvi serta Proton Saga BLM untuk mengelak dari dikesan pihak berkuasa.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methapetamin.

"Mereka direman selama 12 hari bermula 27 April lalu untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Mohd Ismail berkata, pihaknya turut merampas tiga buah kereta iaitu Perodua Myvi, Axia dan Proton Saga BLM yang digunakan untuk kegiatan samun.

Hasil siasatan juga mendapati, dua suspek yang ditahan di inap desa masing-masing mempunyai lapan rekod kes samun manakala yang lain masing-masing mempunyai satu kes.

Mohd Ismail menunjukkan tiga buah kenderaan yang dirampas kerana disyaki digunakan untuk kegiatan samun. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Mohd Ismail menunjukkan tiga buah kenderaan yang dirampas kerana disyaki digunakan untuk kegiatan samun. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Berita Harian X