Rabu, 29 April 2020 | 8:07pm

Penangguhan semua aktiviti di masjid, surau Johor dilanjutkan

JOHOR BAHRU: Penangguhan solat Jumaat, sembahyang berjemaah lima waktu, solat tarawih dan semua aktiviti di masjid, surau atau musala di negeri ini, dilanjutkan hingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat berakhir pada 12 Mei depan.

Menurut kenyataan dikeluarkan Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ), hari ini, penangguhan itu juga akan mengikut sebarang ketetapan diputuskan Kerajaan Malaysia dari semasa ke semasa.

Katanya, penangguhan itu telah diperkenankan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, mengikut peruntukan Fasal 57(A) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 dan Seksyen 6 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.

Menurut kenyataan itu lagi, laungan azan dan pelaksanaan solat fardu lima waktu serta sembahyang tarawih di masjid dan surau, hendaklah membabitkan tiga pegawai masjid meliputi imam, bilal serta noja saja setelah melepasi saringan kesihatan, manakala ahli kariah pula menunaikannya secara berjemaah di rumah.

"Sepanjang tempoh yang dinyatakan, semua perhimpunan untuk tujuan aktiviti agama seperti kuliah, ceramah dan seumpamanya di seluruh masjid serta musala negeri ini, hendaklah ditangguhkan.

"Arahan ini juga berkuat kuasa terhadap segala aktiviti kemasyarakatan yang lazim dilaksanakan di dalam premis berkenaan seperti kursus, majlis keraian, pengurusan jenazah, memasak, mengagihkan bubur lambuk dan seumpamanya.

"Bagi menghidupkan syiar Ramadan, masjid dan surau dibenar menggunakan pembesar suara bagi mengumandangkan bacaan ayat suci al-Quran 10 minit sebelum azan maghrib serta bacaan al-Quran dan tarhim 15 minit sebelum waktu subuh.

"Bagi memohon perlindungan Allah SWT daripada segala wabak dan bencana, termasuk agar penularan COVID-19 segera berakhir, maka Qunut Nazilah hendaklah dibaca oleh semua rakyat serta imam dalam solat lima waktu dan solat witir tarawih," katanya.

Kenyataan berkenaan ditandatangani Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad; Pengarah JAINJ, Datuk Md Rofiki Samsudin; dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Johor (MAINJ), Datuk Mohd Noh Ibrahim.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X