Sabtu, 25 April 2020 | 4:52pm
Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan menyerahkan sumbangan kepada seorang kakitangan kontrak pembersihan. - Foto ihsan UniSZA
Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan menyerahkan sumbangan kepada seorang kakitangan kontrak pembersihan. - Foto ihsan UniSZA

Kakitangan UniSZA potong gaji untuk Tabung COVID-19

KUALA NERUS: Seramai 667 kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) memotong gaji sebanyak dua peratus untuk disalurkan dalam Tabung COVID-19 universiti itu.

Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti pada 30 Mac lalu bersetuju mempelawa kakitangan gred 41 dan ke atas membuat pemotongan gaji bagi April dan Mei untuk dimasukkan ke Tabung COVID-19 UniSZA.

"Sehingga kini seramai 667 daripada 905 kakitangan UniSZA bersetuju memotong dua peratus daripada gaji mereka.

"Seramai sembilan kakitangan pelaksana juga tidak terkecuali daripada menyahut inspirasi pengurusan dalam membuat potongan gaji untuk disalurkan ke tabung berkenaan.

"Alhamdulillah sekarang jumlah terkumpul hasil pemotongan gaji itu sebanyak RM293,552.44," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan kepada Kakitangan Kontrak Pembersihan Bergaji Harian UniSZA, di sini, hari ini.

Beliau juga berkata, sumbangan melalui Tabung COVID-19 itu akan diagihkan secara berperingkat iaitu fasa pertama pada bulan ini dan fasa kedua pada Mei.

"Inisiatif ini diambil sebagai usaha membantu Tabung COVID-19 UniSZA mengumpul seberapa banyak dana untuk disumbangkan kepada pihak yang memerlukan termasuk kakitangan dan penduduk setempat yang terkesan.

"Senarai penerima akan disenaraikan dan pengagihan sumbangan itu akan sentiasa dihebahkan kepada warga UniSZA supaya penyumbang mengetahui ke mana sumbangan mereka disalurkan," katanya.

Pada majlis itu, seramai 316 kakitangan bawahan UniSZA termasuk pekerja am, pemandu dan pengawal keselamatan serta 206 kakitangan kontrak pembersihan menerima sumbangan kewangan berjumlah keseluruhan RM83,800.

Setiap kakitangan UniSZA yang terpilih menerima sumbangan RM200 setiap seorang manakala kakitangan kontrak pembersihan menerima RM100 setiap seorang.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X