Sabtu, 25 April 2020 | 4:13pm
K Sanasi dibantu Rustam mengangkat getah beku untuk ditimbang di Kampung Ramuan Cina Kecil, Masjid Tanah, Melaka. - Foto Hassan Omar
K Sanasi dibantu Rustam mengangkat getah beku untuk ditimbang di Kampung Ramuan Cina Kecil, Masjid Tanah, Melaka. - Foto Hassan Omar

Penoreh merintih harga getah merudum

ALOR GAJAH: Penoreh getah merintih mengenangkan nasib mereka berikutan harga getah beku merudum ke paras paling rendah sejak dua bulan lalu walaupun dikatakan permintaan sarung tangan dan kondom melambung ketika penularan COVID-19.

Dengan harga getah beku RM1.60 sekilogram sekarang, mereka terpaksa menghadapi kesukaran untuk meneruskan kehidupan, terutama bagi membiayai kos sara hidup yang semakin meningkat.

K Sanasi, 69, berkata walaupun harga merudum, dia tidak ada pilihan, selain terpaksa terus menoreh di kebun milik penduduk Kampung Ramuan Cina Kecil, Masjid Tanah di sini kerana hanya itu sumber pendapatannya.

"Hari ini saya jual 23 kilogram (kg) lantun (getuh beku) yang saya toreh tiga hari lalu dan dapat RM18.40 selepas hasil jualan dibahagi dua dengan tuan punya kebun.

"Harga lantun sekarang sangat rendah tetapi kami penoreh tidak ada cara lain untuk cari duit, selain terpaksa terus menoreh untuk beli barangan keperluan harian," katanya ketika ditemui menjual getah beku di pusat pembelian getah milik peraih, Rustam Ma'ali di kampung itu hari ini.

Ditanya mengapa tidak membuat tuntutan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) berdasarkan harga lantai getah beku RM2.50 yang disediakan Lembaga Getah Malaysia (LGM), Sanasi mendakwa dia tidak mempunyai kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G)

yang membolehkannya berbuat demikian.

Permohonan untuk mendapatkan kad berkenaan hanya dibuat bulan lalu selepas pemilik kebun memberikan salinan geran tanah selepas berkali-kali beliau meminta salinan terbabit.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, dilaporkan berkata, ketika ini hanya kira-kira 20 peratus pekebun getah di seluruh negara membuat tuntutan IPG dan hanya RM100 juta subsidi IPG sudah dituntut sedangkan masih ada RM400 juta yang masih boleh dituntut.

Walaupun permintaan terhadap sarung tangan dan kondom meningkat ketika ini, ia tidak membantu meningkatkan harga getah asli kerana hanya 15 peratus digunakan dalam pembuatan produk berkenaan.

Berita Harian X