Jumaat, 24 April 2020 | 9:40am
Pemantauan pasukan operasi Air Selangor mengenal pasti peningkatan kekeruhan dan parameter ammonia di Sungai Pajam yang disyaki berpunca daripada kolam ikan berhampiran. - Foto FB Air Selangor

Ops Sumber Air halang dua insiden pencemaran

SHAH ALAM: Operasi pemantauan 24 jam sumber air (Ops Sumber Air) yang dijalankan oleh kerajaan negeri menerusi Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berjaya menghalang dua insiden pencemaran di lembangan Sungai Langat.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian, berkata tindakan pantas yang diambil juga berjaya mengelakkan Loji Rawatan Air (LRA) daripada henti tugas.

"Pada 19 April lalu, pemantauan pasukan operasi Air Selangor mengenal pasti peningkatan kekeruhan dan parameter ammonia di Sungai Pajam yang disyaki berpunca daripada kolam ikan berhampiran.

"Semakan lanjut mendapati lokasi berkenaan terletak dalam kawasan Negeri Sembilan. LUAS kemudian menghubungi Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan (BKSA N9) sebelum mereka mengambil tindakan mitigasi," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, pada hari yang sama, pasukan operasi turut mengenal pasti keadaan air berwarna hijau di saliran kawasan Perindustrian Hi-Tech 6 sebelum memasuki Sungai Semenyih.

Katanya, berdasarkan siasatan yang dijalankan, pasukan operasi mengesyaki ianya berpunca daripada sebuah kilang percetakan yang terletak di Jalan Sungai Lalang, Semenyih.

"Kilang berkenaan dikesan tidak menguruskan Buangan Terjadual mengikut prosedur yang ditetapkan di dalam Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

"Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil tindakan pantas menghentikan operasi premis dan menyita beberapa alatan premis seperti mesin kompresor dan mesin cetak. Pensampelan juga sudah diambil untuk dianalisa oleh Jabatan Kimia Malaysia (JKM)," katanya.

Loy Sian berkata, kerjasama pelbagai pihak dalam operasi berkenaan berjaya menangani isu pencemaran air sebelum menjadi lebih teruk serta mengakibatkan gangguan bekalan air kepada pengguna.

Katanya, kerajaan negeri komited dalam memastikan kelangsungan sumber air di Selangor dan meminta rakyat prihatin terhadap kawasan sensitif terutamanya sungai dengan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran supaya tidak berulang.

Selain daripada LUAS, Air Selangor serta JAS, operasi berkenaan turut disertai Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Pejabat Daerah & Tanah (PDT) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ops Sumber Air berkenaan dilaksanakan secara bersepadu pada 17 April hingga 31 Mei depan untuk memastikan tiada insiden pencemaran berlaku seterusnya boleh menyebabkan LRA dihenti tugas terutamanya pada musim perayaan yang akan datang.

Ia susulan empat LRA iaitu LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Loji Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas susulan pencemaran bau pada 16 April lalu.

Berita Harian X