Khamis, 23 April 2020 | 4:55pm
Kakitangan PRPTAR menyiapkan PPE untuk disumbangkan kepada petugas barisan hadapan di Hospital Melaka. - Foto Ihsan PRPTAR
Kakitangan PRPTAR menyiapkan PPE untuk disumbangkan kepada petugas barisan hadapan di Hospital Melaka. - Foto Ihsan PRPTAR
Kakitangan PRPTAR gigih menyiapkan PPE untuk disumbangkan kepada petugas barisan hadapan di Hospital Melaka. - Foto Ihsan PRPTAR
Kakitangan PRPTAR gigih menyiapkan PPE untuk disumbangkan kepada petugas barisan hadapan di Hospital Melaka. - Foto Ihsan PRPTAR

COVID-19: Pusat Rehabilitasi PERKESO hasilkan PPE untuk barisan hadapan

MELAKA: Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Tun Abdul Razak (PRPTAR) di sini tidak ketinggalan menyumbang kelengkapan perlindungan diri (PPE) untuk petugas barisan hadapan melawan penularan wabak COVID-19.

Ia hasil inisiatif Jabatan Pengurusan Hilang Upaya dan Vokasional PPRTAR bersama 30 kakitangan yang turut dibantu petugas dari beberapa jabatan lain, menghasilkan PPE untuk petugas kesihatan di Hospital Melaka.

Pengarah Eksekutif PRPTAR, Dr Hafez Hussain, berkata PERKESO bekerjasama dengan Hospital Melaka untuk menghasilkan PPE bagi petugas kesihatan berdasarkan keperluan hospital berkenaan.

"Projek ini dimulakan 13 April lalu secara berperingkat di Bengkel Jahitan Vokasional, PRPTAR," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

PRPTAR yang bertaraf antarabangsa melaksanakan program pemulihan perubatan dan vokasional komprehensif seperti fisioterapi, terapi cara kerja, terapi hidro, terapi pertuturan serta latihan pemulihan vokasional.

Semua program berkenaan bertujuan membantu pencarum PERKESO dan pesakit luar yang mengalami kekurangan daya fizikal atau hilang upaya agar dapat kembali bekerja dan berintegrasi semula dalam masyarakat.

Dr Hafez menjelaskan, sebanyak 220 set gaun isolasi, 230 unit penutup kepala dan 60 pasang penutup kasut telah siap dan diserahkan kepada Hospital Melaka pada 20 April lalu.

"PERKESO bukan sahaja melihat kepada manfaat golongan pekerja yang ditimpa bencana, malah kami juga mengutamakan keselamatan petugas barisan hadapan dan prihatin terhadap kekurangan bekalan PPE di hospital.

"Kami berharap sumbangan ini dapat membantu mengurangkan risiko yang dihadapi oleh petugas kesihatan dan menyokong pengoperasian Hospital Melaka dalam menangani krisis COVID-19," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, PERKESO juga melaksanakan saringan COVID-19 di bawah Program Saringan Prihatin untuk semua pekerja yang layak dalam sektor-sektor yang dibenarkan kerajaan untuk beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berita Harian X