Selasa, 21 April 2020 | 10:02am
Dr Amizan (tengah) melihat pelindung muka yang dihasilkan PNT dan PKBB. - Foto ihsan PNT
Dr Amizan (tengah) melihat pelindung muka yang dihasilkan PNT dan PKBB. - Foto ihsan PNT

Pengakap Terengganu, Pengakap Kelana Blackflurry serah 4,114 unit pelindung muka

KUALA TERENGGANU: Pasukan Pengakap Negeri Terengganu (PNT) bersama Pengakap Kelana B Blackflurry (PKBB) Pasir Mas, Kelantan menyerahkan sebanyak 4,114 unit pelindung muka kepada Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), semalam.

PNT menyerahkan sebanyak 3,000 unit pelindung muka sementara PKBB menyerahkan sebanyak 1,114 unit pelindung muka yang dihasilkan ahli masing-masing.

Penolong Ketua Pesuruhjaya PNT, Shahrul Azwan Mohamad @ Endut berkata, seramai 30 keluarga di kalangan ahli pengakap terbabit dalam pembuatan pelindung muka itu.

“Bagi fasa pertama sebanyak 3,000 perlindungan muka disiapkan dan diserahkan kepada urus setia COVID-19 di HSNZ.

“Kami mensasarkan sebanyak 4,000 pelindung muka dihasilkan bagi fasa kedua membabitkan 40 keluarga ahli pengakap yang membantu menyiapkannya.

“Selain HSNZ, sebanyak 200 pelindung muka turut diserahkan kepada Terengganu Specialist Hospital (KTS),” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Pelindung Muka PNT dan PKBB kepada HSNZ, semalam.

Turut hadir pada majlis itu, Pengarah HSNZ, Dr Amizan Mohamad dan Penolong Pemimpin Pasukan PKBB Nor Azlin Mat Nor.

Shahrul Azwan berkata, bahan untuk membuat pelindung muka itu disediakan melalui sumbangan PNT dan syarikat koporat termasuk Syarikat Norlan United dan My Coklat.

“Kami harap sumbangan pelindung muka itu sedikit sebanyak membantu memudahkan petugas di barisan hadapan HSNZ menjalankan tanggungjawab mereka,” katanya.

Sementara itu, Nor Azlin berkata, PKBB ialah pelopor projek pelindung muka Pengakap dan sudah menyiapkan 10,000 pelindung muka.

“Bagi fasa pertama kami menyiapkan 10,000 unit pelindung muka dan sudah diserahkan kepada 15 hospital di Kelantan.

“Kami dalam proses menyiapkan 10,000 unit lagi dan akan diserahkan kepada lebih 25 hospital dan pihak petugas barisan hadapan di pantai timur,” katanya yang juga Ketua Projek Face Shield Warriors.

Beliau berkata, semua pelindung muka itu disiapkan oleh sukarelawan PKBB dalam usaha membantu petugas barisan hadapan yang memerlukan kelengkapan peralatan perlindungan diri (PPE) itu.

“Cabaran paling utama dalam menyiapkan pelindung muka itu ialah kekurangan bahan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain sikap segelintir peniaga yang menaikan harga bahan-bahan yang digunakan untuk membuat pelindung muka itu,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X