Isnin, 20 April 2020 | 5:54pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

PKP: 800 pasangan tunda nikah.

JOHOR BAHRU: Seramai 800 pasangan sudah berdaftar dengan Jabatan Agama Islam negeri Johor (JAINJ) terpaksa menunda penikahan berikutan pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi, berkata jumlah itu adalah pasangan yang sepatutnya bernikah sejak 21 Mac lalu hingga 28 April ini.

Beliau berkata, penundaan kesemua majlis keraian dan pernikahan itu diputuskan bagi menjaga keselamatan dan mematuhi PKP sekali gus menghentikan penularan wabak COVID-19.

“Menerusi pekeliling pengurusan nikah, cerai dan rujuk sepanjang PKP, JAINJ menangguhkan semua majlis akad nikah bermula 21 Mac lalu hingga 28 April ini atau mengikut tempoh PKP berakhir.

“Keputusan itu juga mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, jadi tiada majlis akad nikah akan dilaksanakan sepanjang tempoh ini.

“Kita juga memutuskan untuk tidak melaksanakan akad nikah secara atas talian“, katanya pada sidang media pembayaran zakat atas talian di Pusat Islam Iskandar, di sini, hari ini.

Sementara itu, Tosrin memaklumkan pihaknya bersama JAINJ dan Majlis Agama Islam negeri Johor (MAINJ) akan mengedarkan risalah panduan solat tarawikh di rumah kepada orang ramai bermula esok.

“Semua umat Islam di negeri ini diminta menunaikan solat tarawih di rumah masing-masing. Kita akan mengedarkan panduan solat berkenaan bermula esok,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X