Isnin, 20 April 2020 | 5:41pm
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi (tiga, kiri) bersama Pengurus Besar Econsave Mas Imran Adam (dua, kiri) menyusun sayur-sayuran sumbangan Econsave Cash & Carry Sdn Bhd yang akan diagihkan kepada penduduk Pangsapuri Rakyat. - Foto BERNAMA
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi (tiga, kiri) bersama Pengurus Besar Econsave Mas Imran Adam (dua, kiri) menyusun sayur-sayuran sumbangan Econsave Cash & Carry Sdn Bhd yang akan diagihkan kepada penduduk Pangsapuri Rakyat. - Foto BERNAMA

COVID-19: Johor tunda peperiksaan Sekolah Agama

JOHOR BAHRU: Semua peperiksaan di seluruh Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor akan ditunda tahun depan, bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi, berkata Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menerusi bahagian pendidikan memutuskan semua peperiksaan ditunda termasuk peperiksaan di Marsah dan Maahad Johor.

Katanya kesemua peperiksaan dari darjah satu hingga darjah khas itu ditunda tahun hadapan, namun tarikh sebenar peperiksaan terbabit akan dijalankan masih belum diputuskan.

“Bahagian Pendidikan JAINJ putuskan semua peperiksaan darjah khas ditangguhkan pada tahun ini.

“Apa jua peperiksaan dari darjah satu hingga enam, darjah khas dan peperiksaan di Maahad Johor dan Marsah ditangguhkan sehingga tahun depan.

“Bila peperiksaan itu akan dijalankan, ianya masih belum diputuskan tetapi pada tahun ini tiada peperiksaan akan dijalankan di Sekolah Agama Kerajaan negeri Johor,” katanya pada sidang media pembayaran zakat dalam talian di Pusat Islam Iskandar, di sini, hari ini.

Untuk rekod sebelum ini, Kementerian Pendidikan Malaysia mengumumkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) ditunda suku pertama tahun depan.

Manakala peperiksaan semester dua Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diubah pada Ogos ini, manakala semester tiga dalam suku pertama tahun depan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X