Sabtu, 18 April 2020 | 10:39am

87 peratus kawasan terima bekalan air selepas LRA dihenti tugas semalam

SHAH ALAM: Sebanyak 1,132 kawasan yang terjejas susulan penutupan empat Loji Rawatan Air (LRA) akibat pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Selangor pagi semalam sudah menerima bekalan air setakat jam 6 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Halem Mat Som, berkata wilayah Hulu Selangor dan Kuala Lumpur sudah pulih sepenuhnya, manakala Petaling, Gombak dan Kuala Selangor melebihi 90 peratus.

“Berdasarkan pemantauan sehingga jam 6 pagi tadi, 1,132 kawasan sudah mula mendapat bekalan air, manakala 160 kawasan lagi masih dalam proses pemulihan termasuk di Shah Alam dan Klang yang kini pada tahap 71 peratus serta Kuala Langat pada tahap lima peratus.

“Dari segi akaun pengguna, sebanyak 87 peratus sudah menerima bekalan air sepenuhnya,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan perkembangan itu, Air Selangor menjangkakan bekalan air di seluruh kawasan yang terjejas akan pulih sepenuhnya menjelang tengah malam ini.

Jelasnya, Air Selangor akan terus memaklumkan status terkini kepada pengguna dari semasa ke semasa menerusi media massa dan semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan sesawang di www.airselangor.com.

“Bantuan lori tangki akan terus digerakkan ke kawasan terjejas sehingga bekalan air pulih seperti sedia kala,” katanya.

Semalam, empat LRA iaitu Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Hee Loy Sian dilaporkan berkata pencemaran berkenaan berpunca daripada kolam ternakan ikan keli yang beroperasi secara haram di sebuah kawasan di Hulu Selangor.

Susulan itu katanya, kerajaan negeri mengarahkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Air Selangor melaksanakan pemantauan 24 jam setiap hari bagi memastikan tiada gangguan bekalan air berlaku.

Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor dihenti tugas semalam akibat pencemaran bau pada sumber air mentah - Foto fail NSTP
Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor dihenti tugas semalam akibat pencemaran bau pada sumber air mentah - Foto fail NSTP
Berita Harian X