Khamis, 16 April 2020 | 3:12pm
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Empat Tawau, Deputi Superintendan Mohd Nazari Ismail (tengah) menunjukkan ketam hidup yang dirampas anggotanya awal pagi tadi. Foto Abdul Rahemang Taiming 
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Empat Tawau, Deputi Superintendan Mohd Nazari Ismail (tengah) menunjukkan ketam hidup yang dirampas anggotanya awal pagi tadi. Foto Abdul Rahemang Taiming 

PKP: PPM patah cubaan seludup ketam bernilai RM400,000

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) mematahkan cubaan penyeludupan ketam hidup bernilai RM400,000 dari negara jiran dalam operasi di kawasan muara Sungai Tawau Lama di sini, awal pagi tadi.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Empat Tawau, Deputi Superintendan Mohd Nazari Ismail, berkata penyeludupan digagalkan anggotanya ketika menjalankan rondaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan berkenaan jam 3.05 pagi.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat risikan, pihaknya mengesan dua bot jongkong dalam mencurigakan bergerak laju dari kawasan perairan Pulau Sebatik menuju ke kawasan perairan Tawau.

"Sepasukan anggota bot ronda PPM kemudiannya mengejar dan memintas kedua-dua bot berkenaan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot jongkong terbabit membawa 250 kotak dengan setiap satunya mengandungi kira-kira 20 kilogram ketam hidup disyaki cuba diseludup masuk secara haram ke daerah ini," katanya kepada pemberita pada sidang media di Pangkalan PPM di sini, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Nazari menjelaskan, siasatan awal mendapati kegiatan penyeludupan yang didalangi rakyat tempatan selain melibatkan rangkaian penyeludupan di wilayah Kalimantan Utara, Tarakan, Indonesia.

Katanya, modus operandi sindiket terbabit adalah menggunakan bot jongkong berdaftar dari Tawau untuk memunggah hasil laut di kawasan sempadan perairan Sungai Melayu (Wilayah Indonesia) pada waktu tengah malam ketika air laut pasang sebelum dibawa masuk ke sini pada awal pagi (subuh).

"Kita turut menahan dua juragan masing-masing seorang lelaki tempatan dan warga Indonesia berumur awal 20-an dipercayai bertindak sebagai pengangkut untuk siasatan lanjut.

"Semua barang rampasan termasuk dua buah bot jongkong bersama enjin sangkut dianggarkan berjumlah RM482,000 dibawa ke Pangkalan PPM Tawau, manakala hasil laut terbabit diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Berita Harian X