Rabu, 15 April 2020 | 1:27pm
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman bersama Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji melakukan tinjauan di sekitar Pasar Besar Kota Kinabalu. - NSTP/Juwan Riduan
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman bersama Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji melakukan tinjauan di sekitar Pasar Besar Kota Kinabalu. - NSTP/Juwan Riduan

Terowong sanitasi COVID-19 di lokasi utama KK

KOTA KINABALU: Pasar Besar Kota Kinabalu di sini, akan dilengkapi terowong sanitasi dalam usaha mengekang penularan COVID-19 di bandar raya ini.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman, berkata terowong sanitasi itu akan dipasang di kawasan tumpuan termasuk pintu utama pasar besar berkenaan untuk pengunjung dan peniaga.

Katanya, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) juga sudah menetapkan pembinaan terowong sanitasi automatik di pintu masuk jeti pengangkutan bot untuk penduduk Pulau Gaya.

“Selain di jeti dan beberapa lagi kawasan di pasar besar ini, DBKK juga akan memasang terowong sanitasi di pasar Inanam dan Manggatal.

“Kita juga mengarahkan anggota DBKK yang bertugas supaya terus memantau keadaan semasa di lokasi utama ini sepanjang masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat lawatan kerja di Pasar Besar Kota Kinabalu di sini, hari ini.

Nordin berkata, DBKK berharap orang ramai akan terus mematuhi arahan penjarakan sosial dan memakai topeng muka serta sarung tangan ketika berada di pasar berkenaan.

“DBKK akan terus bekerjasama dengan polis untuk memastikan aktiviti harian di kawasan tumpuan ini sentiasa terkawal.

“Kita ingatan juga orang ramai terus mematuhi tempoh PKP ini dalam usaha memutuskan rangkaian penularan wabak COVID-19,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X