Selasa, 14 April 2020 | 6:51pm
Pengarah Politeknik Kota Kinabalu, Zainab Othman (tengah) bersama pelindung muka yang dihasilkan sekumpulan warga politeknik itu. - Foto Ihsan PKK
Pengarah Politeknik Kota Kinabalu, Zainab Othman (tengah) bersama pelindung muka yang dihasilkan sekumpulan warga politeknik itu. - Foto Ihsan PKK

Politeknik Kota Kinabalu hasilkan 1,001 pelindung muka

KOTA KINABALU: Sebanyak 1,001 unit pelindung muka dihasilkan oleh sekumpulan warga Politeknik Kota Kinabalu (PKK) untuk disumbangkan kepada Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (HWKK) Sabah.

Pengarahnya, Zainab Othman dalam satu kenyataan hari ini, berkata pelindung muka terbabit telah disiapkan oleh kakitangan dan pelajar PKK dalam tempoh tiga hari sahaja.

“Pelindung muka bagi fasa kedua ini disiapkan dalam tempoh tiga hari dengan bantuan 10 kakitangan dan 20 pelajar yang berada di kampus PKK ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Peralatan ini dihasilkan daripada plastik menggunakan kaedah gabungan pencetak tiga dimensi dan ia adalah penghasilan fasa kedua. Inisiatif ini dicetuskan oleh Pensyarah Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Nielson Peter Sorimpuk dan ia boleh digunakan semula dengan hanya menggantikan pelindungnya sahaja.

“Bagi pelindung muka DIY, ia adalah bersifat pakai buang,” katanya sambil menambah, PKK turut bekerjasama dengan sebuah syarikat tempatan yang menyumbang bahan-bahan bagi penghasilan pelindung muka terbabit.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan adalah sumbangan kecil warga PKK dan syarikat Miccosin Kota Kinabalu untuk sama-sama terbabit secara tidak langsung dalam mengekang penularan wabak COVID-19.

Peralatan berkenaan diserahkan kepada Pengarah HWKK Sabah, Dr Tan Bee Hwai pada majlis turut dihadiri Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PKK, Abd Razak Mohd Daim dan Ketua Jabatan Sukan dan Kokurikulum politeknik berkenaan, Saril Yusof.

Sementara itu, Dr Bee Hwai berkata, pihaknya amat menghargai dan berterima kasih kepada PKK atas sumbangan berkenaan.

“HWKK menyambut baik penghasilan dan sumbangan pelindung muka ini yang dapat membantu petugas barisan hadapan kami dalam menghadapi cabaran menangani wabak COVID-19 ini,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X