Isnin, 13 April 2020 | 9:37am

PKP: Tunang gagal jadi penyelamat

ALOR SETAR: Alasan ke rumah tunang gagal menyelamatkan seorang pemuda daripada ditahan polis kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini, malam tadi.

Pemuda berusia 20-an yang menunggang motosikal seorang diri, ditahan pada jam 11.30 malam ketika melalui sekatan dalam pemeriksaan mengejut di persimpangan lampu isyarat Taman Nuri, Jalan Datuk Kumbar.

Dalam operasi itu, beberapa individu cuba melarikan diri dengan memecut motosikal melepasi sekatan, namun berjaya ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata dalam sekatan itu seramai 16 individu berusia antara 19 hingga 38 tahun ditahan kerana ingkar PKP.

Sebahagian dari 16 individu yang ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di persimpangan lampu isyarat Taman Nuri, Jalan Datuk Kumbar. - Foto Zuliaty Zulkiffli
Sebahagian dari 16 individu yang ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di persimpangan lampu isyarat Taman Nuri, Jalan Datuk Kumbar. - Foto Zuliaty Zulkiffli

Beliau berkata, kebanyakan mereka memberi pelbagai alasan untuk melepaskan diri walaupun masing-masing tahu PKP hanya membenarkan keluar rumah sehingga jam 8 malam.

“Lokasi itu sudah lima kali dilakukan pemeriksaan dan tangkapan sebelum ini, namun ramai yang masih ingkar PKP.

“Berikutan itu kesemua 16 individu yang ditahan malam ini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mohd Rozi berkata, operasi itu disertai dua pegawai dan 15 anggota serta dibantu 3 anggota dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Beliau berkata, mereka yang ditahan disiasat mengikut Peraturan 3 (1) Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 2020.

Anggota polis menyoal lelaki yang ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam pemeriksaan memgejut di persimpangan lampu isyarat Taman Nuri Jalan Datuk Kumbar. - Foto Zuliaty Zulkiffli

Berita Harian X